Wednesday, 8 February 2023

 

Jualan Proton cecah 126,682 unit setakat tahun ini

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 6 Disember- Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd (Proton) merekodkan jualan 126,682 unit kenderaan setakat Januari hingga November tahun ini.

Jumlah tersebut mengatasi 114,708 unit kenderaan yang terjual pada keseluruhan tahun lalu.

Bagaimanapun, jualan bagi November menyusut 13.1 peratus kepada 11,316 unit berbanding Oktober berikutan isu gangguan bekalan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roslan Abdullah yakin, jualan pada Disember akan kembali normal sekali gus kekal mencatat pertumbuhan jualan positif bagi empat tahun berturut-turut.

Pengeluar kereta menetapkan sasaran jualan sebanyak 150,000 unit kenderaan untuk tahun ini.

Sementara itu, Proton berharap dapat meningkatkan sumbangannya kepada ekonomi negara dengan melaksanakan lebih banyak pelaburan tempatan, jualan kenderaan dan pengembangan pasaran eksport menerusi pelancaran model baharu tahun depan.

Dalam pada itu, Proton baru-baru ini meraikan pengeluaran enjin 1.5 TGDI ke-10,000 di barisan pemasangan enjin Tanjung Malim baharunya pada 1 Disember lepas.

(Foto fail)

Pencapaian tersebut hanya mengambil masa selama tujuh bulan selepas pengeluaran unit pertama pada April tahun ini.

“Barisan enjin baharu Proton ini menjadi bukti ketabahan dan keazaman pekerja kami untuk mengatasi halangan dan mencapai matlamat.

“Pada 2023, kami menyasarkan pengeluaran sebanyak 60,000 enjin yang akan digunakan dan merentasi beberapa model Proton,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Li Chunrong.