Wednesday, 1 February 2023

 

Nilai ringgit susut berbanding dolar AS pada sesi awal dagangan

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 29 November - Nilai ringgit menyusut sedikit daripada kenaikan yang dicatatkan minggu lepas dan dibuka rendah berbanding dolar AS pada Selasa, dipengaruhi oleh pengukuhan nilai dolar AS selain kemerosotan harga minyak mentah, kata seorang penganalisis.

Pada pukul 9 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai kepada 4.5000/5100 berbanding dolar AS daripada penutupan Jumaat pada 4.4795/4890.

Pasaran ditutup semalam (Isnin) sempena cuti khas yang diumumkan oleh Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis minggu lepas.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata peniaga dilihat mencari perlindungan dengan mendapatkan dolar (mata wang selamat) di tengah-tengah kebimbangan kemelesetan global, sementara menunggu ucapan pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS), Jerome Powell mengenai kenaikan kadar pada hari Rabu.

"Permintaan untuk dolar AS bermula selepas Rizab Persekutuan pada Isnin menukar nada dan cenderung terhadap kenaikan kadar faedah, ” kata beliau.


(Foto hiasan)

Sementara itu, Innes berkata harga minyak kekal tidak menentu ekoran berita yang kian meluas antara menambah dan mengurangkan bekalan oleh Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Ketika ini, penanda aras harga minyak mentah Brent turun 0.46 peratus kepada US$82.81.

Pada sesi pembukaan, ringgit diniaga bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Nilai mata wang tempatan menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.2628/2705 daripada 3.2573/2645 pada penutup Jumaat dan lemah berbanding yen Jepun kepada 3.2425/2500 daripada 3.2118/2188.

Bagaimanapun, ringgit menambah nilai berbanding pound Britain kepada 5.3852/3971 daripada 5.4094/4209 dan meningkat berbanding euro kepada 4.6530/6633 daripada 4.6551/6650 minggu lepas. -BERNAMA