Thursday, 8 December 2022

Bursa Malaysia diniagakan rendah pada sesi awal dagangan

  • Published in Ekonomi

(FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 28 September- Bursa Malaysia didagangkan lebih rendah pada sesi awal urus niaga pagi ini di tengah-tengah prestasi lemah semalaman Wall Street.

Pada 10.01 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun sebanyak 4.13 mata kepada 1,406.74 daripada penutupan Selasa pada 1,410.87, selepas dibuka 3.55 mata lebih rendah pada 1,407.32.

Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 368 berbalas 169, manakala 270 kaunter tidak berubah, 1,591 tidak diniagakan dan 38 yang lain digantung

Jumlah dagangan yang dicatatkan adalah sebanyak 498.83 juta unit bernilai RM317.57 juta

Dalam satu nota, naib presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berpendapat dagangan di bursa tempatan dijangka kekal lemah berikutan ketidaktentuan yang kian ketara di peringkat serantau.

“Namun begitu, kami menjangkakan kemunculan beberapa kegiatan memburu saham murah dalam saham kewangan selepas seminggu mencatatkan penurunan berturut-turut dan indeks utama diunjur berada dalam julat 1,405-1,420 hari ini,” tambahnya.

(Bursa Malaysia didagangkan lebih rendah pada sesi awal urus niaga pagi ini di tengah-tengah
prestasi lemah semalaman Wall Street/BERNAMA)

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank menokok dua sen kepada RM4.23 dan Petronas Chemicals menambah satu sen kepada RM8.36 manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM5.91, Maybank dan CIMB kedua-duanya susut satu sen kepada RM8.56 dan RM5.11 dan TNB kerugian tiga sen kepada RM8.69.

Bagi saham aktif, PT Resources naik 3.5 sen menjadi 40.5 sen, Velesto tidak berubah pada 11.5 sen, Cnergenz turun empat sen kepada RM1.08, dan LGMS susut satu sen RM1.23.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 30.30 mata kepada 10,049.64, FBM 70 susut 34.83 mata menjadi 12,212.48 manakala Indeks FBMT 100 menguncup 28.51 mata kepada 9,795.0.

Sementara itu, indeks FBM Emas Syariah menyusut sebanyak 25.24 mata kepada 10,151.32 dan  FBM ACE jatuh 33.06 mata kepada 4,675.32.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga 7.02 mata lebih rendah pada 680.13, Indeks Perladangan turun 36.55 mata kepada 6,543.53, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 53.24 mata menjadi 15,901.32 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.5 mata kepada 171.19.
-BERNAMA