Logo

TNB, Petronas bekerjasama pacu aspirasi Malaysia sebagai negara neutral karbon

(FOTO FAIL)

KUALA LUMPUR, 19 Ogos - Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Petronas telah memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) dalam usaha mengukuhkan kerjasama untuk memacu penyelesaian inovatif ke arah penyahkarbonan bagi menyokong aspirasi Malaysia sebagai negara neutral karbon menjelang 2050.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, kedua-dua syarikat berkata ini dapat dicapai menerusi kajian kolaboratif bagi pembangunan ekosistem hidrogen hijau dan teknologi memerangkap dan penyimpanan karbon (CCS) yang memanfaatkan kepakaran teknikal serta sumber organisasi TNB dan Petronas.

MoU itu telah ditandatangani oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

Majlis itu telah dipengerusikan oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Di bawah MoU terbabit, kedua-dua pihak akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan mengenai penggunaan penyelesaian CCS di loji penjanaan tenaga TNB.

Aspek lain termasuk meninjau pembangunan bahan api hidrogen hijau bagi penjanaan tenaga selain memperhebat usaha untuk sama-sama mewujudkan ekosistem hidrogen dalam menyalurkan penyelesaian tenaga lebih bersih di Malaysia serta pasaran antarabangsa.

Inisiatif tersebut akan dimulakan menerusi usaha penjanaan semula Stesen Janaelektrik Sultan Ismail milik TNB di Paka, Terengganu yang menggunakan gabungan turbin gas kitaran berkecekapan tinggi dengan teknologi hidrogen menjelang 2029 ke arah pengeluaran tenaga lebih bersih.


(Foto fail)

“Menerusi usaha memanfaatkan kekuatan TNB dan Petronas, stesen janaelektrik Paka itu akan berperanan sebagai projek perintis unik dalam melaksanakan teknologi hijau yang berkemungkinan dapat dilaksanakan di loji-loji tenaga di masa depan.

“Malah, TNB dan Petronas juga mempunyai pelaburan yang besar di Terengganu. Tindakan penjanaan semula stesen TNB di Paka dan aspirasi Petronas bagi menyahkarbon asetnya di negeri itu akan menyaksikan peralihan kepada pembangunan teknologi hijau yang dapat memastikan pertumbuhan ekonomi mampan untuk Terengganu,” kata kedua-dua syarikat itu.

Sementara itu, Takiyuddin menyifatkan kerjasama terbabit dapat melonjakkan lagi usaha kerajaan dalam aspirasi untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

“Masa bagi memulakan usaha ini juga amat bertepatan kerana kerajaan dijadual melancarkan Dasar Tenaga Negara 2021-2040 tidak lama lagi yang akan menggariskan peralihan Malaysia kepada tenaga hijau.

 “Kerajaan juga yakin kerjasama kedua-dua syarikat tenaga ini akan turut mempercepat pengurangan pelepasan karbon di peringkat masing-masing ketika melaksanakan usaha-usaha penyahkarbonan,” katanya.

TNB dan Petronas telah memberi komitmen ke arah Pelepasan Karbon Sifar Bersih (NZCE) 2050.

Sehubungan itu, MoU tersebut dilihat mampu menyuntik aspek ketangkasan di sepanjang rantaian nilai bagi pelaksanaan serta pengembangan perniagaan yang memberi sumbangan positif untuk masyarakat serta alam sekitar. -BERNAMA

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.