Sunday, 2 October 2022

Pasaran ACE: Agmo mula disenaraikan

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 18 Ogos - Dagangan sulung Agmo Holdings Berhad, di pasaran Ace bermula kukuh, apabila dibuka pada 80 sen sesaham.

Saham pakar penyelesaian digital dan pembangunan aplikasi tempatan itu mencatat premium 54 sen berbanding harga tawaran awam permulaannya pada 26 sen.

Ketika dagangan dibuka pagi tadi, 8.44 juta saham bertukar tangan dengan permodalan pasaran berjumlah RM84.5 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Aik Keong yakin sambutan menggalakkan itu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi Agmo dan peluang untuk memanfaatkan trend pendigitalan.

(Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Aik Keong)

"Fokus kami bagi tempoh beberapa bulan ini ialah melaksanakan pelan pengembangan operasi dengan menggunakan hasil penyenaraian bagi pembangunan Pusat Penyelidikan & Pembangunan, pasukan jualan dan pemasaran serta bahagian perkhidmatan sokongan teknikal.

"Selain itu mewujudkan Akademi Agmo yang menjadi pusat latihan dan pembangunan dan meluaskan pasaran ke Singapur," katanya pada sidang media majlis penyenaraian Agmo di Bursa Malaysia.

Jelasnya, Singapura dipilih sebagai destinasi pertama berikutan kedudukan negara itu sebagai pusat kewangan global dan syarikat teknologi serantau serta asas pelanggan yang kukuh di negara jiran itu.

Syarikat itu turut menjanjikan prospek yang cerah, dirangsang pertumbuhan berterusan aplikasi mudah alih seiring pendigitalan dalam perniagaan dan kemajuan teknologi.