Wednesday, 28 September 2022

DPT 2.0 sasar pacu Malaysia ke tahap lebih maju - Azmin

  • Published in Ekonomi

(Seminar Perniagaan Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur (DPT)
berlangsung di ibu negara pagi tadi)

KUALA LUMUR, 11 Ogos- Dasar Pandang ke Timur (DPT) telah membantu Malaysia melakukan anjakan paradigma daripada sebuah negara berasaskan pertanian kepada negara perindustrian.

Atas pencapaian itu, sejak 2013, Malaysia meletakkan Dasar Pandang ke Timur sebagai sasaran untuk memacu negara ke tahap lebih maju.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali optimis dasar tersebut mampu mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara sekali gus mencapai tahap negara maju.

"Malaysia hari ini pun telah menggubal dan melaksanakan dasar pelaburan baharu berteraskan kerangka sosial serta sosial dan tadbir urus (ESG) untuk memastikan pembangunan ekonomi negara ini lestari, mampan dan menjamin daya tahan rantaian bekalan," kata Azmin selepas Majlis Pembukaan Seminar Perniagaan Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur (DPT) di ibu negara.

Pada tahun 1982, Kerajaan Malaysia memperkenalkan DPT sebagai suatu peralihan meneladani nilai-nilai timur khususnya negara Jepun.

Dasar itu diperkenalkan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamed yang percaya bahawa etika kerja pekerja Jepun dapat dicontohi oleh warga kerja tempatan bagi membolehkan Malaysia muncul sebagai sebuah negara perindustrian. 

Malaysia turut meraikan ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik dengan Jepun.  

Untuk rekod Jepun merupakan rakan dagang ke-4 terbesar dan menjadi antara sumber pelaburan asing utama bagi Malaysia.

Baca Malaysia-Jepun perlu teroka bidang kerjasama baharu membabitkan inisiatif ESG menerusi DPT - PM


(Azmin ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pembukaan Seminar Perniagaan
Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur (DPT) di ibu negara)