Wednesday, 28 September 2022

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 9 Ogos - Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS berikutan sentimen disokong oleh Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia, yang meningkat 12.1 peratus tahun ke tahun pada Jun 2022.

Pada 8 malam, mata wang tempatan naik kepada 4.4548/4589 berbanding dolar AS daripada 4.4570/4600 pada Isnin.

Peniaga berkata data IPP yang positif itu memberi rangsangan kepada sokongan belian untuk ringgit dan sentimen positif baharu dalam pasaran apabila firma penyelidikan menjangka pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih baik pada separuh kedua tahun ini.

Sementara itu, penganalisis di platform dagangan dalam talian, OANDA Craig Erlam berkata pasaran turut kekurangan hala tuju, mencerminkan pasaran ekuiti di Asia, yang dilihat melangkaui ke sesi Eropah.

“Kita mungkin telah sampai kepada tahap yang pelabur perlu membuat keputusan sama ada mereka benar-benar akan membeli untuk pemulihan/tiada naratif kemelesetan atau tidak dan sudah tiba masanya untuk memutuskan sama ada ini hanya kenaikan sementara dalam pasaran yang wujud semasa pasaran rendah atau pandangan sebenar bahawa prospek ekonomi jauh lebih rendah daripada apa yang dibimbangi oleh ramai pihak,” katanya.

Sementara itu, ringgit ditutup bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan naik berbanding yen Jepun kepada 3.2976/3022 daripada 3.3010/3035 pada Isnin, bagaimanapun merosot berbanding euro kepada 4.5610/5677 daripada 4.5408/5438 semalam.

Ia turut susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2352/2383 daripada 3.2309/2333 dan merosot berbanding pound kepada 5.3969/4005 daripada 5.3872/3908 sebelum ini. - BERNAMA