UPSI,BukhSU jalin kerjasama strategik perkasa Bahasa Melayu

Dr Zuraini bersama Rektor, Profesor Obidjon Xamidov; Ketua Jabatan Perhubungan Antarabangsa Mr. Shuhabbos Sharofiddinov (kiri) /BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI

TANJUNG MALIM, 2 April – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Negeri Bukhara (BukhSU), Uzbekistan mencipta sejarah melalui jalinan kerjasama akademik strategik bagi mempelopori pengajaran kursus Bahasa Melayu buat julung kalinya di negara Asia Tengah itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI menghantar dua ahli akademik untuk program sangkutan enam bulan, menjadikan Bahasa Melayu kursus formal di BukhSU.
  • Kerjasama diiktiraf sebagai pengiktirafan besar kerana Bahasa Melayu belum pernah ditawarkan secara rasmi di universiti berkenaan.
  • Fokus kerjasama menyokong sektor pelancongan dan hospitaliti, melatih pelajar serta pemandu pelancong memenuhi peningkatan pelancong Asia Tenggara.

Kolaborasi tersebut dilaksanakan menerusi Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) UPSI yang menghantar dua ahli akademik pakar bagi program sangkutan selama enam bulan, sekali gus meletakkan bahasa Melayu sebagai kursus formal dalam kalendar akademik BukhSU.

Dekan FBK, Prof Madya Dr Mazura@Mastura Muhammad berkata, kerjasama itu merupakan satu pengiktirafan besar memandangkan bahasa Melayu belum pernah ditawarkan secara rasmi di universiti berkenaan sebelum ini.

Rektor BukhSU, Profesor Obidjon Xamidov menyifatkan sinergi antara kedua-dua universiti itu sebagai lembaran baharu dalam usaha pengantarabangsaan institusinya, terutamanya dalam menyokong sektor pelancongan dan hospitaliti di Uzbekistan.

“Kerjasama ini merupakan langkah penting dalam memperluas jaringan antarabangsa kami.

“Kami melihat potensi besar dalam memperkenalkan bahasa Melayu kepada pelajar kami sebagai nilai tambah kompetensi mereka,” katanya dalam satu pertemuan rasmi bersama wakil UPSI di Bukhara, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Dr Zuraini Ramli yang merupakan antara ahli akademik perintis di universiti berkenaan berkata, fokus kerjasama tersebut tertumpu kepada pelajar bidang pelancongan serta pemandu pelancong tempatan bagi memenuhi trend peningkatan pelancong dari rantau Asia Tenggara.

“Ini merupakan satu langkah perintis yang amat bermakna buat UPSI kerana bahasa Melayu belum pernah diperkenalkan secara formal di Bukhara sebelum ini.

“Melalui program ini, kami berharap dapat membuka ruang baharu kepada pelajar dan penggiat industri pelancongan untuk mengenali serta menguasai bahasa Melayu,” katanya.

Selain Dr Zuraini, program sangkutan akademik tersebut turut disertai oleh Profesor Madya Dr Dahlia Janan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh jambatan ilmu antara Malaysia dan Uzbekistan.

Kejayaan kerjasama berkenaan bukan sahaja memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di peringkat global, malah membuktikan keupayaan universiti tempatan dalam mengeksport kepakaran akademik ke luar negara.