Umat Islam buat persediaan menjelang Ramadan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 17 Februari – Masyarakat beragama Islam memanfaatkan cuti perayaan Tahun Baharu Cina untuk keluar berbelanja dan membuat persiapan menjelang Ramadan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peniaga membuat persediaan awal untuk memastikan bekalan ayam, santan dan daging mencukupi menjelang Ramadan.
  • Harga barangan di Pasar Chow Kit dilaporkan stabil dan lebih berpatutan berbanding beberapa pasar lain.
  • Orang ramai memanfaatkan cuti untuk membeli keperluan dan membuat persiapan menyambut Ramadan.

Tinjauan RTM di Pasar Awam Chow Kit mendapati bekalan barangan basah seperti ayam, daging dan ikan adalah mencukupi dan mampu menampung permintaan pengguna sepanjang tempoh berkenaan.

Bagi peniaga Paidi Kasmono, dia telah membuat persediaan awal bagi memastikan bekalan ayam mencukupi untuk semua pengguna.

“Kalau harga di Chow Kit, masih murah llagi berbanding tempat lain macam Sentul dan Pasar Keramat. Untuk bekalan ayam memang cukup,” katanya.

Bagi peniaga santan Puteri Norain Wasri,dia memastikan bekalan itu mencukupi memandangkan permintaan terhadap bahan berkenaan akan meningkat setiap kali menjelang Ramadan.

“Sempena Ramadan ini, kami telah memastikan bekalan santan mencukupi. Kami sedar permintaan meningkat kerana ramai yang menggunakan santan sepanjang bulan ini, jadi kami sentiasa memastikan bekalan tersedia dan mencukupi untuk pengguna,” katanya.

Bagi seorang lagi daging lembu Aziz Yahya, harga jualankekal stabil bagi Ramadan tahun ini berbanding tahun lepas.

“Harga masih seperti biasa dan tidak mengalami kenaikan. Kami menjual pada kadar yang sama seperti tahun lalu. Walaupun sebelum ini ada turun naik, namun bagi tahun ini harganya kekal seperti sedia ada,” katanya.

Bagi orang awam Zanani Mahmud dari Kampung Pandan berpendapat, harga barangan di Pasar Chow Kit berpatutann dan menjimatkan.

“Harga yang ditawarkan boleh dikatakan berpatutan dan mesra golongan berpendapatan rendah (B40). Namun, jika di pasar, khususnya di Kampung Pandan, harganya agak tinggi dan boleh dianggap pada kadar golongan berpendapatan tinggi (T20),” katanya.

Bagi Abdul Latif Kassim yang tinggal di Gombak pula, memang menjadikan Pasar Chow Kit sebagai pilihan untuk membeli barangan keperluan setiap kali menjelang Ramadan.

“Saya datang ke sini untuk membeli barangan basah sebagai persediaan bulan puasa. Dekat sini lebih senang beli barangan keperluan dan harganya lebih kurang sama sahaja,” katanya.

Bagi Zuhana Zubir, kesempatan cuti umum hari ini digunakan sepenuhnya untuk membeli barangan keperluan serta membuat persiapan Ramadan.

“Saya merancang untuk membeli semua barangan basah yang diperlukan sebagai persediaan untuk menyambut Ramadan,” katanya.