Tentera Thai dakwa berbalas tembakan dengan Kemboja di sempadan

FOTO AFP

BANGKOK, 24 Februari – Tentera Thailand memaklumkan berlaku insiden berbalas tembakan dengan pasukan Kemboja di kawasan sempadan pada Selasa, sambil menuduh negara jirannya melanggar perjanjian gencatan senjata Disember lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Thailand dakwa berlaku berbalas tembakan dengan pasukan Kemboja di sempadan Sisaket, melanggar perjanjian gencatan senjata Disember lalu.
  • Thailand menembak balas menggunakan pelancar grenad M79 sebagai amaran dan mempertahankan diri; tiada kecederaan dilaporkan.
  • Kemungkinan punca ialah pertukaran anggota Kemboja yang kurang faham peraturan, sementara Kemboja enggan mengulas dakwaan tersebut.

Menurut kenyataan tentera Thailand, pasukan Kemboja melepaskan satu das tembakan pelancar grenad 40 milimeter berhampiran rondaan Thai di wilayah sempadan Sisaket pada pagi Selasa, sebelum dibalas oleh pihaknya.

Tiada anggota tentera Thailand dilaporkan cedera dalam kejadian itu.

“Susulan insiden tersebut, pasukan Thailand membalas dengan melepaskan tembakan menggunakan pelancar grenad M79 ke arah lokasi tembakan dilepaskan, selaras dengan peraturan penglibatan sebagai amaran dan mempertahankan diri,” menurut kenyataan itu.

Jurucakap tentera, Winthai Suvaree berkata tindakan Kemboja itu melanggar perjanjian gencatan senjata yang menamatkan tiga minggu pertempuran berdarah di sempadan pada akhir Disember lalu.

Menurut kenyataan sama, penilaian awal mencadangkan insiden mungkin berpunca daripada pertukaran anggota tentera Kemboja, dengan anggota baharu kurang memahami peraturan serta kawalan arahan sehingga berlaku kelemahan operasi.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Maly Socheata, bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung dakwaan berkenaan ketika dihubungi AFP.

Konflik sempadan kedua-dua negara yang berlarutan lebih satu abad berpunca daripada pertikaian persempadanan era penjajahan Perancis membabitkan sempadan sepanjang kira-kira 800 kilometer.

Pertikaian itu mencetuskan beberapa siri pertempuran tahun lalu, mengorbankan puluhan orang termasuk anggota tentera dan orang awam, selain menyebabkan lebih sejuta penduduk dipindahkan pada Julai dan Disember.-AFP