
KUANTAN, 3 Feb – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan pembaharuan dalam sistem pelantikan Orang Besar Negeri Pahang dengan menetapkan tempoh perkhidmatan tertentu bagi menggantikan amalan lantikan seumur hidup sebelum ini.
- Sultan perintahkan pembaharuan sistem pelantikan Orang Besar dengan menetapkan tempoh perkhidmatan bertempoh, bukan seumur hidup.
- Tempoh pelantikan ditetapkan mengikut pangkat, contohnya Orang Besar Empat lima tahun dan Orang Besar Lapan empat tahun.
- Perlantikan dan sambungan tempoh tertakluk kepada budi bicara serta perkenan raja pemerintah.
Baginda bertitah, langkah itu diambil bagi memberi peluang kepada generasi muda serta memastikan setiap penyandang jawatan sentiasa komited melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada negeri dan rakyat.
Baginda menegaskan bahawa kuasa melantik Orang-Orang Besar adalah kuasa mutlak Raja sebagaimana termaktub dalam peruntukan yang telah dilafazkan dan setiap lantikan adalah tertakluk pada peraturan, tatasusila jawatan serta amanah yang besar.
Titah baginda, corak pelantikan pada zaman pemerintahan Baginda kini berbeza berbanding amalan terdahulu, selaras dengan konsep pelantikan bertempoh sebagaimana amalan pelantikan Yang di-Pertuan Agong.
“Seperti saya titah dalam Majlis Pangkuan Diraja tempoh hari setiap pelantikan mempunyai tempoh masa, iaitu Orang Besar Empat akan menyandang jawatan itu selama lima tahun manakala Orang Besar Lapan, empat tahun.
“Selain itu, Orang Besar Enam, Orang Besar Raja, Orang Besar Enam Belas, Orang Besar Istana, tiga tahun.
“Tempoh latihan ini boleh disambung atau ditamatkan tertakluk pada budi bicara dan perkenan raja pemerintah,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Gelaran-Gelaran dan Istiadat Menjunjung Duli Kerabat-Kerabat Bergelar Serta Orang-Orang Besar Negeri Pahang Darul Makmur di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang.
Dalam istiadat itu, baginda berkenan mengurniakan gelaran Orang-Orang Besar Negeri Pahang kepada seramai 16 individu.
Pada istiadat itu juga, tiga anakanda Baginda dikurniakan gelaran Kerabat Bergelar iaitu Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.
Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah serta Yang Amat Mulia Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.
Mengenai Istiadat Menjunjung Duli, baginda bertitah, ia merupakan warisan tamadun Kesultanan Melayu Pahang yang telah bertapak sejak 556 tahun lalu bermula pada tahun 1470 dengan Sultan Muhammad Shah sebagai Sultan Pahang pertama.