
KUALA LUMPUR, 7 Februari – Tafsiran semula istilah ‘jelik’ dan ‘menyakitkan hati’ di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 menunjukkan kebebasan bersuara dalam ruang digital tertakluk kepada tanggungjawab serta kepentingan awam.
- Kebebasan bersuara di ruang digital mesti disertai tanggungjawab dan mengambil kira kepentingan awam.
- Mahkamah Persekutuan menegaskan tafsiran undang-undang sebagai asas kedaulatan undang-undang.
- Seksyen 233 bertujuan mengawal penyalahgunaan komunikasi dalam talian yang boleh memudaratkan masyarakat.
- Perbezaan pendapat dibenarkan; konteks, niat dan cara penyampaian menentukan kesalahan.
Pensyarah Kanan, Jabatan Komunikasi Xiamen University Malaysia, Dr Muhammad Nur Fitri Razak berkata, prinsip paling penting daripada keputusan Mahkamah Persekutuan itu ialah keperluan menghormati tafsiran mahkamah sebagai asas kepada kedaulatan undang-undang.
“Perkara paling penting yang boleh kita ambil daripada isu ini adalah prinsip yang sangat mudah iaitu menghormati keputusan yang telah ditafsirkan dan juga telah diberikan oleh mahkamah. Kita hormat proses yang telah dibuat dan dalam masa yang sama, itu adalah asas kepada kedaulatan undang-undang dalam negara kita,” katanya ketika dihungi RTM, hari ini.
Mahkamah Persekutuan pada Jumaat sebulat suara mengembalikan dua perkataan tersebut bawah peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, selepas memutuskan ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Seksyen berkenaan menjadikan sebagai suatu kesalahan jenayah, apa-apa komunikasi dalam talian yang bersifat ‘lucah, tidak sopan, palsu, mengancam atau menyinggung perasaan dengan niat untuk mengganggu, mendera, mengugut atau mengacau orang lain.
Mengulas lanjut, beliau berkata, peruntukan itu bertujuan mengawal penyalah gunaan komunikasi dalam talian yang boleh memudaratkan individu dan masyarakat.
“Undang-undang ini cuba untuk mengawal keadaan bila komunikasi atas talian digunakan untuk menyerang, mengganggu, mengugut dan sengaja menyakitkan hati orang lain,” katanya.
Jelas, Dr. Muhammad Nur Fitri lagi, perbezaan pendapat masih dibenarkan, namun konteks, niat dan cara penyampaian menentukan sama ada sesuatu kenyataan melanggar undang-undang.
“Dalam keadaan ini yang membezakannya adalah konteks dan kita perlu melihat adakah niat sebalik pendapat atau pandangan yang dilontarkan dalam media sosial itu sendiri. Kita kena lihat adakah pandangan itu dah kritikal itu wajar? Seperti contoh yang saya berikan atau ia dibuat atas niat yang lebih serius, iaitu yang boleh memudaratkan,” katanya.
Beliau menegaskan kebebasan bersuara di media sosial bukan bersifat mutlak dan datang bersama tanggungjawab, terutama kerana kandungan dalam talian boleh tersebar dengan pantas serta mudah disalah tafsir.