
KUALA LUMPUR, 1 April – Warga Radio Televisyen Malaysia (RTM) disaran membantu mempromosikan platform digital RTMKlik, yang bakal menampilkan pelbagai kandungan baharu, termasuk di peringkat antarabangsa dalam masa terdekat.
- Menteri Fahmi tekankan RTM mesti hasilkan kandungan berkualiti untuk menyampaikan maklumat dan menyatukan rakyat menghadapi cabaran semasa.
- RTM akan terus menyediakan program hiburan, termasuk konsert dan rancangan baharu, bagi menceriakan dan menghiburkan rakyat.
- Sempena ulang tahun ke-80, Fahmi berharap RTM kekal sebagai teman setia rakyat dan penghubung nilai kebangsaan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perancangan sedang giat dijalankan dengan kandungan akan disalurkan khusus menerusi platform tersebut.
“Semua warga RTM perlu bersama-sama membantu usaha Ketua Pengarah Penyiaran (Ashwad Ismail) mempromosikan RTMKlik.
“Dalam tempoh terdekat, platform ini akan menampilkan pelbagai kandungan baharu selaras dengan perancangan yang sedang diperkasakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-80 RTM di perkarangan Wisma Berita, Angkasapuri Kota Media hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail.
Datuk Fahmi dalam pada itu menekankan peranan RTM dalam menghasilkan kandungan berkualiti bagi menyampaikan maklumat dan menyatukan rakyat menghadapi cabaran semasa.
“RTM juga akan terus menyediakan program hiburan seperti konsert dan rancangan baharu untuk menceriakan rakyat,” katanya.
Beliau turut menzahirkan ucapan selamat ulang tahun ke-80 kepada RTM dan berharap ia kekal sebagai teman setia rakyat.