Pekerja Bangladesh maut dihempap kren kawalan jauh

Kren yang terbalik dipercayai terlanggar tebing kaki lima dan menghempap mangsa di Jalan Perak, Kuala Lumpur, malam tadi

KUALA LUMPUR, 7 Februari- Seorang pekerja Bangladesh maut selepas dihempap sebuah kren jenis spider lift dikendalikannya di Jalan Perak, di sini, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kren jenis spider lift yang dikendalikan menggunakan alat kawalan jauh terlanggar tebing kaki lima sebelum hilang imbangan dan terbalik.
  • Kren menghempap pengendali Bangladesh berusia 32 tahun ketika melakukan kerja pembaikan papan tanda di bahu jalan.
  • Pengendali disahkan maut di lokasi; dua kenderaan berhampiran cedera ringan atau tidak mengalami kecederaan.
  • Polis menyiasat pemilik kontraktor, permit DBKL, dan meminta rakaman CCTV serta maklumat orang ramai untuk siasatan lanjut.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata kejadian berlaku pada 10.40 malam semasa lelaki berusia 32 tahun itu melakukan kerja pembaikan papan tanda bangunan di bahu jalan.

“Siasatan awal mendapati kren yang dikendalikan menggunakan alat kawalan jauh dipercayai terlanggar tebing kaki lima sebelum hilang imbangan lalu terbalik.

“Kren itu menghempap mangsa dan dua kenderaan berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zamzuri berkata pengendali kren disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan manakala pemandu dan penumpang dua kenderaan terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.

Polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti syarikat pemilik kren kontraktor terlibat, menyemak permit kebenaran kerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mereka yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee menerusi talian 03-20719999 atau hadir ke balai polis berhampiran.