
JOHOR BAHRU, 7 Februari- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 20 warga asing di Mount Austin, di sini, dalam operasi khas, Op Kutip pada Khamis.
- Operasi khas Op Kutip di Mount Austin menahan 20 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen.
- Tertuduh terdiri daripada 14 lelaki China, dua wanita China dan empat lelaki Myanmar, usia 22 hingga 58 tahun.
- Mereka disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
- Semuanya ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata operasi dijalankan secara terancang bagi mengesan pelanggaran undang-undang imigresen termasuk penggajian warga asing tanpa dokumen sah dan penyalahgunaan pas lawatan sosial.
“Mereka (yang ditahan) terdiri daripada 14 lelaki warganegara China, dua wanita warganegara China dan empat lelaki warganegara Myanmar berumur antara 22 hingga 58 tahun,” menurut kenyataan hari ini.
Kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Ketika operasi dijalankan, sebahagian pekerja cuba melarikan diri, tetapi tindakan pantas anggota penguatkuasa berjaya menghalang cubaan tersebut,” katanya.
Mohd Rusdi berkata, kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut.