
SINTOK, 16 Februari – Universiti Utara Malaysia (UUM) menubuhkan lapan makmal khas bagi memacu prestasi institusi secara lebih berfokus dan berimpak tinggi, selaras pelaksanaan 12 tujahan kecemerlangan universiti.
- UUM tubuhkan lapan makmal khas untuk memacu lonjakan prestasi institusi secara fokus dan berimpak tinggi.
- Setiap makmal diketuai pengurusan kanan; Ketua Makmal diberi enam minggu untuk cadangan strategik.
- Fokus termasuk peningkatan pelajar pascasiswazah dan antarabangsa, penerbitan Scopus, penyelidikan, dan penjanaan kewangan.
- Tumpuan juga pada reformasi birokrasi, kebajikan staf, RPTM 2026–2035, gaji premium graduan, dan pendigitalan kampus.
Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, inisiatif itu bertujuan meneliti cabaran semasa serta merangka strategi berkesan bagi mencapai matlamat yang ditetapkan.
“Langkah ini diharap dapat meletakkan UUM sebagai antara institusi terbaik bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, setiap makmal diterajui barisan pengurusan kanan universiti dan Ketua Makmal diberi tempoh enam minggu untuk mengemukakan cadangan strategik.
Antara fokus utama termasuk peningkatan kemasukan pelajar pascasiswazah dan antarabangsa, pertambahan penerbitan artikel berindeks Scopus, pemerkasaan penyelidikan serta penjanaan kewangan dan endowmen.
Tumpuan turut diberikan kepada reformasi birokrasi, kebajikan kakitangan, pelaksanaan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035, peningkatan gaji premium graduan UUM serta pendigitalan kampus.
Sebelum ini, Prof. Dr. Ahmad Martadha menggariskan 12 tujahan strategi 2026 sebagai pelan tindakan menyeluruh merangkumi pengantarabangsaan, peningkatan keterlihatan ilmuwan, kebolehpasaran graduan, pemerkasaan kecekapan organisasi, serta pendemokrasian kecerdasan buatan (AI) secara inklusif tanpa mengabaikan pembangunan kampus lestari.
“Aspek prestasi akademik turut diberi perhatian menerusi semakan semula komponen penilaian prestasi dan kenaikan pangkat berasaskan penerbitan artikel berindeks Scopus.
“Penawaran geran penyelidikan dalaman juga dipertingkatkan bagi memperkukuh budaya penyelidikan berprestasi tinggi dalam kalangan warga UUM,” katanya.