Kerajaan MADANI lulus RM60 juta, perkukuh basmi kemiskinan di Terengganu 2026

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) mbersama Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Majlis Pecah Tanah Kolej Matrikulasi Terengganu di Bukit Payong, hari ini/BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 13 April -Kerajaan MADANI telah meluluskan peruntukan khas sebanyak RM60 juta bagi melaksanakan program pembasmian kemiskinan di Terengganu pada tahun 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program pembasmian kemiskinan menumpukan peningkatan pendapatan dan penambahbaikan perumahan bagi golongan berpendapatan rendah.
  • Pelaksanaan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri untuk memastikan bantuan disampaikan berkesan.
  • Peruntukan RM1.8 juta disediakan untuk menaik taraf infrastruktur dan fasiliti 18 institusi tahfiz serta pondok.
  • Penekanan kepada penguasaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan serta mengekalkan keseimbangan ilmu dan adab, jati diri dan akhlak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, berkata inisiatif itu menumpukan kepada peningkatan pendapatan rakyat serta penambahbaikan perumahan, khususnya melibatkan golongan berpendapatan rendah.

“Sebab itu untuk negeri Terengganu, program pembasmian kemiskinan kita luluskan peruntukan khas RM60 juta,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra MADANI bersama pelajar Sekolah Tahfiz Negeri Terengganu di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, di sini.

Menurutnya, pelaksanaan program itu akan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan bantuan disampaikan secara berkesan kepada golongan sasar.

Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Anwar turut mengumumkan peruntukan RM1.8 juta bagi kerja-kerja menaik taraf infrastruktur dan fasiliti melibatkan 18 institusi tahfiz dan pondok di negeri itu.

Pada masa sama, beliau menegaskan kepentingan penguasaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan pelajar institusi pendidikan agama agar tidak ketinggalan dalam arus kemajuan.

“Penguasaan teknologi maklumat termasuk artificial intelligence ini penting, jangan kita ketinggalan dan biarkan orang lain terus ke hadapan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut mengingatkan supaya sistem pendidikan negara mengekalkan keseimbangan antara ilmu dan adab, selain mengelakkan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, cabaran utama adalah membina kefahaman, jati diri dan akhlak, di samping menguasai ilmu baharu seperti teknologi.