
KUALA LUMPUR, 11 Februari – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menjunjung kasih serta menyatakan sokongan penuh terhadap titah dan pendirian tegas Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu pembinaan rumah ibadat yang dilakukan tanpa mematuhi undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
- Sokongan penuh terhadap titah Sultan menekankan kepentingan kedaulatan undang-undang dan tadbir urus yang baik.
- Isu pembinaan rumah ibadat perlu diselesaikan secara berfakta dan berpandukan peruntukan undang-undang sedia ada.
- Seruan agar semua pihak hormati undang-undang dan saluran ditetapkan demi memelihara keharmonian masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan dalam satu kenyataan memaklumkan, pendirian tersebut menegaskan kepentingan kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik serta keperluan memelihara keharmonian dalam masyarakat majmuk.
“Isu pembinaan rumah ibadat tanpa pematuhan undang-undang perlu ditangani secara berfakta dan berlandaskan peruntukan sedia ada, selain dipantau secara berterusan bagi mengelakkan timbulnya keresahan awam yang boleh menjejaskan keamanan,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Zulkifli turut menyeru semua pihak agar menghormati undang-undang serta mematuhi saluran yang ditetapkan demi menjaga keharmonian dan kepentingan bersama.