
PUTRAJAYA, 16 Februari – Pemilik tanah yang berdepan isu pencerobohan perlu mengikut saluran undang-undang yang betul dan tidak mengambil tindakan sendiri.
- Ikut saluran undang-undang dan jangan ambil tindakan sendiri terhadap isu pencerobohan tanah.
- Rekodkan pertikaian secara rasmi melalui laporan polis atau notis peguam supaya ada bukti.
- Tindakan sendirian boleh undang implikasi undang-undang dan tindakan balas serta menyukarkan penentuan hak milik.
- Gunakan mediasi sebagai kaedah alternatif untuk penyelesaian pantas dan kos lebih rendah berbanding mahkamah.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said sebarang pertikaian hak milik atau bantahan terhadap pembinaan di atas tanah yang didakwa diceroboh perlu direkodkan secara rasmi sama ada melalui laporan polis atau notis guaman.
Tindakan sendiri boleh menimbulkan implikasi undang-undang serta risiko tindakan balas, selain menyukarkan penentuan hak milik sebenar sekiranya tidak didokumentasikan.
“Saya agak sukar untuk mengulas kerana jika tuan punya tanah mengambil tindakan sendiri, mungkin akan wujud implikasi atau tindakan balas dari sudut undang-undang. Kita juga tidak mengetahui keseluruhan cerita di sebalik sesuatu pertikaian.
“Mungkin nama A tertera, tetapi hak milik sebenar milik B. Mungkin juga pernah diberikan kebenaran sebelum ini yang tidak direkodkan, atau terdapat bayaran tertentu yang dibuat.
“Sebab itu kita perlu percaya kepada sistem mahkamah. Pada pandangan saya, apa yang dimaksudkan sebenarnya ialah pendaftaran bantahan tersebut mesti dibuat secara rasmi dan direkodkan. Sama ada melalui laporan polis atau notis peguam, ia perlu ‘on record’.
“Jika tidak, keadaan akan menjadi seperti A kata ya, B kata tidak. Saya yakin sistem kita masih tertib, tetapi setiap pihak perlu mengikut proses dan saluran yang betul,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ketetapan yang dinyatakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari agar pemilik tanah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dan tindakan pendakwaan dilakukan sekiranya kesalahan pencerobohan dapat dibuktikan.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Azalina berkata tindakan merobohkan binaan tanpa melalui proses perundangan boleh mencetuskan pertikaian lebih kompleks serta membuka ruang kepada tindakan undang-undang.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) terus memperkukuh penggunaan mediasi sebagai kaedah alternatif bagi penyelesaian pertikaian. Proses mediasi mampu mempercepat penyelesaian konflik serta mengurangkan kos berbanding membawa kes ke mahkamah.