Harga plastik melonjak di selatan China, kos minyak cetus tekanan rantaian bekalan

FOTO REUTERS

DONGGUAN, 12 April – Peningkatan kos berkaitan minyak susulan ketegangan di Asia Barat menyebabkan harga plastik melonjak mendadak di selatan China, sekali gus menekan margin keuntungan, mengganggu logistik dan mencetuskan pembelian panik dalam rantaian bekalan di Zhangmutou, hab dagangan plastik terbesar negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Harga bahan mentah naik kira-kira 60% sejak Mac, stok keselamatan susut, kilang terpaksa beli pada harga tinggi, tekanan dipindah ke pelanggan hiliran.
  • Syarikat menambah stok kerana kebimbangan situasi Asia Barat; loji petrokimia menaikkan harga akibat kekurangan minyak mentah dan bahan suapan.
  • Permintaan mendadak mencetuskan kesesakan gudang dan jalan, trafik 10–15 km; dagangan harian meningkat dua kali ganda, kapasiti gudang penuh.

Pengurus Besar Guangdong Rongsu New Materials Co., Ltd., Peng Xin berkata, harga bahan mentah meningkat kira-kira 60 peratus sejak Mac lalu tanpa tanda akan reda.

“Sejak Mac, harga terus melonjak dan tiada petunjuk ia akan berhenti,” katanya.

Menurut beliau, stok simpanan keselamatan kilangnya kini telah susut dan pembelian bahan mentah baharu terpaksa dibuat pada harga pasaran yang tinggi, tekanan yang dijangka akan dipindahkan kepada pelanggan hiliran.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Plas Business Net, Zheng Bin menjelaskan kebimbangan terhadap situasi di Asia Barat yang dijangka berlarutan dalam tempoh satu hingga dua bulan mendorong syarikat meningkatkan stok masing-masing.

Katanya, loji petrokimia di peringkat huluan turut menaikkan harga susulan kekurangan minyak mentah dan bahan suapan.

Dalam pada itu, peningkatan permintaan secara mendadak turut menyebabkan kesesakan teruk di gudang dan rangkaian jalan raya sekitar Zhangmutou.

Pengurus gudang, Han Bing berkata, kawasan itu pernah mengalami kesesakan hampir seminggu pada waktu puncak.

“Aliran trafik sesak sejauh 10 hingga 15 kilometer dan semua gudang penuh pada kapasiti maksimum,” katanya, sambil memaklumkan jumlah dagangan harian meningkat kepada kira-kira 1,000 tan berbanding 500 tan sebelum ini.

Seorang peniaga di pasaran plastik Zhangmutou, Xiao Zejia pula mendakwa terdapat loji kimia huluan yang enggan memenuhi kontrak lama berharga rendah, sebaliknya memberi keutamaan kepada tempahan baharu pada harga lebih tinggi.

“Saya secara peribadi tidak dapat menerima alasan ‘force majeure’ sebagai justifikasi,” katanya.

Menurut laporan Organisation for Economic Co-operation and Development pada 2025, China merupakan pengeluar, pengguna dan pengeksport produk plastik siap terbesar dunia.-REUTERS