
JOHOR BAHRU, 11 Februari -Seorang ibu dan bayinya maut dalam kemalangan membabitkan kereta dan sebuah lori di Kilometer 65 Jalan Sungai Rengit – Kota Tinggi, Johor, pada 7.20 malam tadi.
- Ibu dan bayi maut selepas kereta memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori di Jalan Sungai Rengit–Kota Tinggi.
- Empat penumpang kereta serta pemandu lori menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi.
- Kejadian disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, ibu bayi tersebut dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala bayi itu meninggal dunia ketika menerima rawatan.
“Empat penumpang yang menaiki kereta sama, bersama pemandu lori terlibat, sedang dirawat di Hospital Kota Tinggi.
“Siasatan mendapati kereta dipandu ibu bayi berkenaan, 24 tahun, bergerak dari Sungai Rengit menghala Kota Tinggi, sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan lori,” katanya menerusi satu kenyataan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 ( 1 ) Akta Pengangkutan Jalan 1987.