Bayaran dam haji ditetapkan RM810 bagi seekor kibas, mula bayar 1 Ramadan

Jemaah boleh membuat pembayaran melalui aplikasi THiJARI atau di kaunter cawangan TH bermula 1 Ramadan

KUALA LUMPUR, 15 Februari – Bayaran dam musim haji tahun ini ditetapkan RM810 bagi seekor kibas dan bakal jemaah boleh membuat pembayaran bermula 1 Ramadan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bayaran dam ditetapkan RM810 bagi seekor kibas untuk musim haji 1447H/2026M.
  • Bayaran boleh dibuat mulai 1 Ramadan melalui aplikasi THiJARI atau kaunter cawangan TH.
  • TH akan uruskan pembayaran kepada ADAHI dan menahan bayaran dari akaun bermula 1 Syawal jika tidak dibayar awal.
  • Haji Ifrad dikecualikan; penyertaan Qurban di Tanah Suci dibuka pada kadar RM810 juga.

TH menerusi kenyataan berkata, kerajaan Arab Saudi menetapkan bayaran dam sebagai pra-syarat pengeluaran visa haji bagi jemaah yang melaksanakan haji Tamattuk dan Qiran mulai musim haji 1447H/2026M.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad, berkata pelaksanaan itu merupakan syarat baharu yang dikenakan kepada semua jemaah haji seluruh dunia bagi musim ini.

“Pelaksanaan dam melalui The Kingdom of Saudi Arabia Project for Utilisation of Hady & Adahi (ADAHI)merupakan syarat baharu yang ditetapkan kepada semua jemaah haji seluruh dunia yang mengerjakan haji Tamattuk dan Qiran bagi musim haji ini.

“TH mengambil inisiatif memaklumkan kepada jemaah negara lebih awal bagi melancarkan urusan pengeluaran visa haji,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Tambah beliau, bayaran dam perlu ditunaikan lebih awal kepada ADAHI dan TH akan menguruskan pembayaran berkenaan bagi pihak jemaah.

“Jemaah boleh membuat pembayaran melalui aplikasi THiJARI atau di kaunter cawangan TH bermula 1 Ramadan.

“Bagi yang tidak membuat bayaran awal, bermula 1 Syawal, TH akan membekukan jumlah berkenaan daripada akaun masing-masing sebelum proses pendebitan dilakukan,” katanya.

TH turut menjelaskan jemaah yang menunaikan haji Ifrad tidak tertakluk kepada bayaran dam dan jumlah yang telah didebitkan akan dipulangkan semula selepas perakuan dibuat serta tertakluk kepada pengesahan pihak TH.

Selain itu, penyertaan Qurban di Tanah Suci turut dibuka kepada semua pendeposit TH pada kadar sama, iaitu RM810 bagi seekor kibas, dengan pembayaran melalui saluran yang sama.

TH dalam pada itu menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap sebarang tawaran pembayaran dam dan Qurban yang mencurigakan daripada mana-mana pihak tidak sah