
KUALA LUMPUR, 16 Februari – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mewajibkan pengisytiharan harta melibatkan semua peringkat pemerintahan serta pegawai yang mengendalikan urusan kewangan dan perolehan sebagai langkah memperkukuh integriti dalam organisasi.
- ATM mewajibkan pengisytiharan harta bagi semua peringkat pemerintahan dan pegawai terlibat urusan kewangan serta perolehan.
- Tempoh penempatan jawatan berisiko tinggi hadkan kepada maksimum 18 bulan untuk cegah konflik kepentingan dan salah guna kuasa.
- Garis panduan diselaraskan dengan SPRM dan peraturan perkhidmatan awam, dengan mekanisme semak imbang telus untuk pelanjutan.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman berkata, keperluan itu merangkumi pegawai kanan dan individu berkepentingan dalam pengurusan kewangan.
Menurutnya, sebahagian pegawai telah melaksanakan pengisytiharan berkenaan sebelum ini, namun proses tersebut akan dikemas kini mengikut kedudukan dan tanggungjawab semasa pegawai terbabit.
“Mana-mana yang belum mengisytiharkan harta, mereka diwajibkan berbuat demikian selaras dengan prinsip tadbir urus baik dan integriti,” katanya.
Beliau berkata, garis panduan pelaksanaan akan diselaraskan dengan ketetapan pihak berkuasa berkaitan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta peraturan perkhidmatan awam.
Dalam perkembangan sama, ATM turut mengehadkan tempoh penempatan pegawai di jawatan berisiko tinggi, khususnya membabitkan perolehan dan kewangan, kepada maksimum 18 bulan.
Langkah itu bagi mengelakkan berlakunya konflik kepentingan, salah guna kuasa atau pembentukan pengaruh tidak sihat akibat tempoh penempatan terlalu lama di sesuatu jawatan.
Bagaimanapun, tempoh berkenaan boleh dipertimbangkan untuk dilanjutkan tertakluk kepada penilaian prestasi, audit serta pengiktirafan panglima perkhidmatan masing-masing, dengan syarat pegawai mematuhi sepenuhnya tatacara integriti, pengurusan bersih, jujur dan amanah.
Jeneral Datuk Malek Razak berkata, mekanisme semak dan imbang akan diperkasakan bagi memastikan setiap pelanjutan dibuat secara telus serta berdasarkan garis panduan yang ditetapkan.
Beliau menegaskan langkah tersebut adalah sebahagian daripada usaha menyeluruh ATM untuk memperkukuh tadbir urus dan memastikan kepentingan organisasi serta negara sentiasa mengatasi kepentingan peribadi.