128 unit Pangsapuri Seri Perantau pulih bekalan elektrik lebih awal

Pangsapuri Seri Perantau

PELABUHAN KLANG, 11 Februari – Sebanyak 128 unit kediaman di Blok C, Pangsapuri Seri Perantau di sini yang terjejas akibat kebakaran bilik sesalur elektrik berjaya dipulihkan lebih awal daripada tarikh sasaran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembuat kerja baik pulih disiapkan lebih awal daripada tarikh sasaran, Surat Siap Kerja diserahkan kepada LPHS.
  • Exco Perumahan meneliti kerja bersama TNB memastikan spesifikasi pendawaian dipatuhi.
  • Pemeriksaan diminta untuk 11 blok lain bagi elak gangguan atau pencerobohan bilik agihan elektrik.
  • Kerajaan negeri merangka audit dan pelan tindakan jangka panjang; PKNS sedia peruntukan dan bantuan CSR bersama TNB.

Exco Perumahan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata kontraktor menyiapkan kerja baik pulih sebelum 24 Februari seperti dijadualkan, dengan Surat Siap Kerja diserahkan kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) hari ini.

“Alhamdulillah, kita jangka siap pada 24 Februari namun pihak kontraktor berjaya menyiapkan lebih awal. Ini satu rahmat kepada 128 penghuni kerana ia selesai sebelum Ramadan.

“Hari ini kita menyampaikan sijil siap kerja dan saya sendiri meneliti kerja yang dilaksanakan bersama pihak TNB mengikut spesifikasi ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Siap Kerja Baik Pulih Pendawaian Elektrik serta penyerahan bakul makanan kepada penduduk terjejas di pangsapuri berkenaan.

Menurutnya, kerajaan negeri turut meminta pemeriksaan dilakukan terhadap 11 blok lain bagi memastikan bilik agihan elektrik (DB) tidak diceroboh atau diganggu sehingga boleh menimbulkan risiko sama.

“Kita minta pemeriksaan dibuat untuk mendapatkan laporan lengkap kerana kita bimbang blok selebihnya menghadapi masalah serupa,” katanya.

Sementara itu, kerajaan negeri merangka pelan tindakan jangka panjang termasuk melaksanakan audit sistem pendawaian bagi baki 11 blok lain untuk memastikan tahap keselamatan elektrik berada pada tahap optimum.

Sebelum ini, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bersetuju menyalurkan peruntukan sehingga RM2 juta bagi menampung kos pembaikan.

Manakala PKNS dan Tenaga Nasional Berhad turut melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat bagi membantu penduduk terjejas.