fb fb fb fb fb

YAKEB terus bantu, pastikan kebajikan bekas atlet terbela

BUKIT KIARA, 27 April - Tiada bekas atlet yang harus meraikan perayaan Aidilfitri dalam keadaan kesedihan dan kesusahan.

Jelas Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, pihaknya akan terus memastikan kebajikan bekas-bekas atlet sentiasa terbela terutamanya ketika musim perayaan yang bakal menjelang.

"Kita ada banyak kes-kes di mana anak-anak mereka (bekas atlet) tinggalkan, kita hanya mampu berkongsi kesedihan dan kita cuba membantu (dengan) sumbangan-sumbangan yang lain, kita ada juga sumbangan bulanan RM300, kita bagi untuk enam bulan.

"Saya harap tahun ini tiada kes-kes macam ini, sebab baru-baru ini kita ada buat dengan YAPEIM, PPIM, Zakat dan sebagainya, kita memastikan semua (bekas atlet) ini akan dapat duit raya dan mereka dapat beraya seperti mana rakyat malaysia yang lain beraya," kata beliau ketika ditemui media selepas Majlis Sumbangan Aidilfitri "Hargai Jasa Atlet", di sini pagi tadi.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Generasi Muda, Sukan Dan Modal Insan negeri Selangor, Mohd Khairuddin Othman.

(Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed menyampaikan
sumbangan kepada bekas atlet pada Majlis Sumbangan Aidilfitri "Hargai Jasa Atlet" di Bukit Kiara)

Kerajaan negeri Selangor hari ini menyampaikan sumbangan Aidilfitri bernilai RM200 dan hamper kepada 200 penerima yang terdiri daripada atlet, atlet sukan para dan bekas atlet.

Inisiatif sumbangan ini diadakan dengan kerjasama berterusan antara kerajaan negeri, YAKEB dan Persatuan Orang Buta Malaysia.

Datuk Noorul turut memaklumkan melalui jalinan kerjasama ini, satu lagi Program "Ceria Atlet Selangor 2022" juga akan dilaksanakan selepas sambutan perayaan Aidilfitri.

Melalui program ini pihaknya akan menziarahi setiap rumah bekas atlet negeri Selangor untuk memenuhi keperluan mereka seperti memperbaiki rumah mengikut keperluan bekas atlet.

Setakat ini sebanyak 50 atlet dikenal pasti dan anggaran peruntukan bagi setiap rumah adalah sejumlah RM5,000.

Media Baharu