fb fb fb fb fb

WUG 2025: 'Final' satu pencapaian, podium kekal idaman

Foto FB FISU World University Games Rhine-Ruhr 2025

ESSEN, 28 Julai - Jika kejayaan mara ke peringkat akhir sudah cukup untuk menarik nafas lega, maka harapan meraih pingat seakan-akan disandarkan kepada tuah semata-mata.

Ungkapan itu sama sekali bukan bertujuan memperlekehkan pencapaian atlet negara di pentas Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 yang melabuhkan tirainya awal pagi ini waktu Malaysia.

Sepanjang hampir dua minggu temasya dwitahunan itu berlangsung, 64 atlet negara berjuang sedaya upaya untuk menyaingi kehebatan jaguh dunia dan pulang ke tanah air dengan satu pingat perak menerusi acara renang serta satu gangsa dalam badminton.

Kilaun perak disumbangkan oleh Khiew Hoe Yean dalam acara 400 meter (m) gaya bebas lelaki dan gangsa oleh Wong Ling Ching dalam perseorangan badminton wanita.

Pencapaian Hoe Yean sekali gus menamatkan kemarau pingat Malaysia selama 34 tahun dalam acara renang di WUG, yang kali terakhir disumbangkan oleh Jeffrey Ong menerusi pingat perak acara 1,500m gaya bebas lelaki pada edisi 1991 di Sheffield, England.

Di sebalik pencapaian dua pingat itu, dua rekod kebangsaan berjaya diperbaharui dalam acara renang, iaitu 400m gaya bebas lelaki dan 4x200m gaya bebas lelaki menerusi kuartet Hoe Yean, Arvin Shaun Singh Chahal, Lim Yin Chuen dan Tan Khai Xin.

Pada masa sama, beberapa atlet turut mencipta detik membanggakan antaranya Arvin Shaun yang mencatat masa peribadi terbaik dalam 100m gaya bebas lelaki, manakala Nurul Ashikin Abas (lompat kijang wanita), kuartet 4x100m lelaki dan 4x400m wanita masing-masing melakukan catatan terbaik musim ini.

Lebih mengujakan ialah melihat enam wakil negara berjaya melangkah ke peringkat akhir, masing-masing empat menerusi olahraga termasuk dalam acara reben biru 100m lelaki yang menyaksikan Muhammad Azeem Mohd Fahmi menduduki tempat keempat.

Selaku pembawa Jalur Gemilang, Muhammad Azeem memikul harapan besar negara dan atlet berusia 21 tahun itu yang membuat penampilan sulung di WUG membuktikan beliau layak berada di pentas akhir temasya sukan dunia. Namun, masih banyak yang perlu diperbaiki dalam usaha mengejar podium pada masa hadapan.

Selain mereka yang menempah tiket ke peringkat akhir, trio recurve berpasukan wanita turut mencuri perhatian selepas mencipta sejarah layak ke peringkat separuh akhir buat julung kali.

Dalam pada itu, peluang menaiki podium dalam beberapa acara lain terjejas disebabkan oleh persembahan yang kurang memuaskan berbanding prestasi meyakinkan dalam pusingan terdahulu.

Dari segi angka, kutipan dua pingat itu jauh meleset daripada sasaran asal tujuh pingat tanpa mengira warna, yang ditetapkan kepada kontinjen negara yang mengambil bahagian dalam enam daripada keseluruhan 19 jenis sukan pada edisi kali ini.

Namun, dedikasi, semangat dan usaha yang ditunjukkan oleh semua atlet pada edisi kali ini wajar diberikan penghargaan dan diraikan, terutama apabila mereka berdepan cabaran hebat di pentas antarabangsa sambil membawa nama negara dengan penuh tanggungjawab dan kebanggaan.

Secara keseluruhan, kontinjen negara menunjukkan daya saing yang memberangsangkan meskipun pulang dengan kutipan satu perak dan satu gangsa, sekali gus menyerlahkan potensi besar yang dimiliki barisan atlet muda.

WUG 2025 melabuhkan tirainya secara rasmi menerusi upacara penutup yang berlangsung dalam kelas tersendiri di Landschaftspark Duisburg-Nord di Duisburg.

Jepun muncul juara keseluruhan dengan 34 emas, 21 perak dan 24 gangsa, diikuti China (30-27-17) dan Amerika Syarikat di tempat ketiga (28-27-29), sementara negara jiran Thailand mengutip dua emas, empat perak dan empat gangsa.

Temasya WUG seterusnya akan dianjurkan di Chungcheong, Korea Selatan pada tahun 2027. -BERNAMA

MASNIZA AWANG KECHIK