KUALA LUMPUR, 4 Julai - Pelari menara nombor satu dunia, Soh Wai Ching meluahkan hasratnya untuk memperkenalkan acara larian menara pada Sukan SEA 2027 disamping Malaysia akan menjadi tuan rumah pada temasya sukan dwitahunan itu.
Menurut Wai Ching, perkara itu bakal dibentangkan kepada Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker pada Rabu ini.
Memandangkan beberapa negara seperti Thailand, Filipina, Vietnam dan Singapura turut terlibat dalam larian menara, Wai Ching berpendapat sukan tersebut wajar dipertandingkan dalam Sukan SEA 2027 di Kuala Lumpur.
Beliau juga berpendapat Menara 118 akan menjadi venue terbaik untuk menganjurkan acara tersebut memandangkan ia adalah bangunan kedua tertinggi di dunia.
(Wai Ching ketika ditemui pemberita RTM)
"Kita mahu dominasi, Sukan SEA biasanya tuan rumah akan ada kelebihan untuk meletakkan sukan yang mana tuan rumah terkuat sekali. Jadi sekarang Wai Ching merupakan pelari menara nombor satu dunia, jadi memang ada kelebihan untuk Malaysia meletakkan Wai Ghing yang semestinya untuk memperoleh pingat emas, dan Wai Ching akan membina satu kumpulan. Ketika ini kita ada dalam lima tahun, jadi dalam lima tahun ini, kita dapat promosikan sukan ini," kata Wai Ching di sini.
Wai Ching kembali mengesahkan statusnya sebagai pelari nombor satu dunia awal Jun lalu, selepas mengungguli kategori keseluruhan saingan Tunnel to Towers Climb NYC di New York, Amerika Syarikat.
Dalam perkembangan lain, Wai Ching menyatakan misinya untuk melahirkan lebih ramai atlet larian menara bagi memastikan Malaysia terus menjadi kuasa besar dalam sukan tersebut.
Beliau juga sedang berusaha mendapatkan kebenaran untuk menjadikan Menara Berkembar PETRONAS sebagai venue bagi kejohanan Oceania Asia tidak lama lagi.