fb fb fb fb fb

Ujian pramusim motoGP, Bagnaia catat masa terpantas pada hari terakhir

Francesco Bagnaia tampil dengan tunggangan agresif dan berjaya melakar rekod masa terpantas satu minit dan 56.682 saat (s)

SEPANG, 9 Februari - Pelumba Ducati Lenovo Team, Francesco Bagnaia menamatkan hari ketiga sesi ujian rasmi pramusim MotoGP 2024 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan cemerlang selepas mencatat rekod pusingan terpantas, pada Khamis.

Pelumba berusia 27 tahun itu tampil dengan tunggangan agresif dan berjaya melakar rekod masa terpantas satu minit dan 56.682 saat (s). 

Manakala pelumba pasukan Prima Pramac Racing, Jorge Martin ketinggalan 0.172 saat untuk menduduki senarai kedua terpantas.

Seorang lagi pelumba pasukan Ducati Lenovo Team, Enea Bastianini yang berjaya mencipta rekod baharu sepusingan terpantas kelmarin, dilihat kurang menyerlah apabila hanya merekodkan 1:56.938s.

Semua pelumba selepas ini akan melengkapkan ujian terakhir pramusim di Qatar dari 19 hingga 20 Februari sebelum membuka kempen musim 2024 di sana dari 7 hingga 9 Mac.

Sementara itu, SIC merekodkan kehadiran sekitar 4,000 orang pengunjung pada edisi kali ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azhan Shafriman Hanif mengakui berpuas hati dengan sokongan peminat tanah air.

Beliau berkata, walaupun diadakan pada hari bekerja, namun peminat setia sukan permotoran dua roda itu sanggup hadir untuk menyaksikan pelumba kegemaran mereka.

"Sebabkan hari bekerja mungkin ramai yang tidak dapat datang tetapi Alhamdulillah kita nampak ada juga orang yang datang dan kehadiran itu mungkin boleh diperbaiki jika ujian pramusim ini dijalankan pada hujung minggu," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN