NEW YORK, 3 Oktober - Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memperkenalkan bola perlawanan rasmi untuk Piala Dunia 2026 digelar 'Trionda'.
Bola berkenaan menggabungkan teknologi canggih serta rekaan yang meraikan tiga negara tuan rumah kejohanan iaitu Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
"Trionda menjadi bola rasmi Piala Dunia tahun depan," kata Presiden FIFA, Gianni Infantino pada majlis pelancarannya, di sini.
Nama dan rekaan bola itu diinspirasikan daripada semangat perpaduan tiga negara penganjur, dengan penggunaan warna merah, biru dan hijau yang mewakili identiti setiap negara.
Selain elemen rekaan, Trionda turut dilengkapi teknologi terkini seperti alur untuk kestabilan pergerakan bola di udara serta ikon timbul yang memberi cengkaman lebih baik dalam keadaan basah atau lembap.
Ia juga mengandungi cip sensor pergerakan yang akan menghantar data secara langsung kepada sistem Video Bantuan Pengadil (VAR).
Piala Dunia 2026 bakal membuka tirai pada 11 Jun hingga 19 Julai tahun depan, kejohanan pertama dianjurkan oleh tiga negara melibatkan penyertaan 48 pasukan.
Dalam perkembangan berkaitan, 4.5 juta peminat bola sepak dari 216 negara telah mendaftar untuk undian prajualan.
Majlis undian rasmi dijadual berlangsung di Washington pada 5 Disember. - AFP