fb fb fb fb fb

Tiada wakil negara pada aksi akhir Kejohanan Badminton Master Malaysia 2022

(Pearly Tan dan M.Thinaah gagal meneruskan saingan selepas tewas kepada beregu nombor satu
dunia, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan)

KUALA LUMPUR, 9 Julai - Tidak ada wakil negara di aksi akhir Kejohanan Badminton Master Malaysia 2022 selepas dua wakil negara, Pearly Tan-M.Thinaah dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik terkandas di separuh akhir.

Beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan dan M.Thinaah gagal meneruskan saingan selepas tewas kepada beregu nombor satu dunia, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan,10-21,19-21.

Berlangsung di Axiata Arena, beregu negara gagal menyaingi ketangkasan pilihan nombor satu kejohanan berkenaan apabila tewas mudah pada set pertama dengan 10-21.

Meskipun berjaya menunjukkan kebangkitan pada set kedua dengan berjaya mengikat kedudukan 19-19, beregu negara gagal mempertahankan kedudukan berkenaan selepas tewas 19-21.

Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik juga gagal meneruskan kempen tewas dengan tiga set kepada beregu Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.


(Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas dengan tiga set kepada beregu Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto)

Berdasarkan rekod, kedua-dua beregu ini telah bertemu sebanyak lima kali dengan kelebihan memihak kepada beregu negara dengan 3-2.

Kali ini beregu Indonesia beraksi lebih baik, hanya memerlukan 15 minit untuk menutup set pertama dengan 21-14.

Di babak kedua, beregu negara berjaya menunjukan permainan yang baik dalam tempoh 20 minit, berjaya menguasai set kedua dengan 21-19.

Pada set penentuan, persembangan beregu negara serba tidak menjadi apabila ketinggalan 2-11 dan terpaksa akur tewas 10-21 dalam tempoh 49 minit.

Situasi yang sama juga berlaku ketika Terbuka Malaysia minggu lalu apabila tidak ada wakil negara di pentas final.

Media Baharu