fb fb fb fb fb

Tiada pemanah lelaki beraksi di Olimpik Paris 2024

Skuad memanah lelaki Malaysia gagal melayakkan diri ke Olimpik Paris 2024/Foto RTM

KUALA LUMPUR,18 Jun-Buat pertama kali selepas 16 tahun Malaysia tidak akan mempunyai pemanah lelaki beraksi di temasya Sukan Olimpik menjelang edisi Paris 2024 bermula bulan depan.

Ia selepas harapan tiga wakil negara untuk meraih slot saat akhir ke temasya sukan berprestij dunia itu tidak kesampaian apabila masing-masing terkandas di pusingan awal acara recurve individu kejohanan 'Archery In Paris Final Olympic Qualifier' di Antalya, Turkiye

Sabtu lepas, skuad recurve lelaki negara tewas kepada Indonesia 6-0 seawal pusingan pertama sekali gus meleburkan harapan untuk menyaksikan Malaysia membuat kemunculan semula dalam acara itu selepas turut gagal melayakkan diri pada edisi Tokyo 2020.

Malaysia sebelum ini tidak pernah terlepas daripada mempunyai wakil pemanah lelaki beraksi di Sukan Olimpik dalam acara individu ataupun berpasukan sejak edisi Beijing 2008.

Jumaat lepas, trio recurve wanita negara Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, Nurul Azreena Mohamad Fazil dan Syaqiera Mashayikh mencipta sejarah apabila buat julung kali melayakkan diri ke Sukan Olimpik selepas mara sehingga ke final pada kejohanan sama di Antalya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD