KUALA LUMPUR, 27 April - Menjelang Sukan SEA Hanoi pada Mei ini.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengesahkan bahawa tiada atlet daripada kontinjen Sukan SEA yang gagal ujian doping setakat ini.
"Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) akan terus melakukan ujian secara sistematik ke atas para atlet bagi memastikan kontinjen negara bebas doping pada temasya dwitahunan itu.
"Kontinjen negara akan berlepas secara berperingkat bermula 4 Mei ini bagi Sukan SEA yang dijadualkan berlangsung secara rasminya bermula 12 hingga 23 Mei di Hanoi, Vietnam, dengan acara terjun dan bola sepak bermula seminggu lebih awal," katanya.
(Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, membuat tinjauan latihan atlet Sukan SEA di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil)
Ahmad Faizal berkata, hampir 40 peratus atlet yang dipilih mewakili negara pada temasya kali ini merupakan atlet muda yang bakal membuat penampilan pertama di peringkat antarabangsa.
Beliau meminta rakyat Malaysia khususnya peminat sukan supaya tidak terlalu memberikan tekanan kepada mereka untuk membawa pulang pingat emas, sebaliknya memberikan sokongan padu untuk membuat lebih baik berbanding pencapaian peribadi terdahulu.