HOUSTON, 3 Mac – Inter Miami tidak menghadapi masalah menewaskan Houston Dynamo 4-1 dalam aksi Major League Soccer (MLS) pada Ahad meskipun tanpa bintang utama mereka, Lionel Messi yang direhatkan.
Peminat di Houston kecewa apabila Messi tidak disenaraikan dalam skuad selepas jurulatih Javier Mascherano memilih untuk merehatkannya berikutan jadual padat sejak permulaan musim.
Sebagai ganti rugi, pihak Houston Dynamo menawarkan tiket percuma untuk perlawanan lain musim ini.
Namun, barisan pertahanan Houston lebih ‘pemurah’ apabila membenarkan Miami menjaringkan gol mudah.
Pasukan pelawat memanfaatkan taktik permainan tekanan tinggi mereka dan Benjamin Cremaschi mencuri bola sebelum Suarez bijak melakukan hantaran kepada Segovia, yang tenang menyempurnakan jaringan pembukaan.
Houston cuba bangkit dengan menguasai bola tetapi pertahanan mereka terus dihukum menerusi serangan balas pantas pada minit ke-37 oleh Tadeo Allende menyempurnakan gerakan dengan rembatan deras kaki kiri.
Miami terus menggandakan asakan bagi menjaringkan gol ketiga sebelum rehat apabila Yannick Bright merampas bola di tengah padang, sebelum melorongkan kepada Suarez yang kemudiannya menghantar bola kepada Segovia.
Penyerang Venezuela itu menolak masuk bola ke penjuru gawang.
Bersambung ke babak kedua, Houston cuba mendapatkan gol selepas rehat tetapi tandukan Ezequiel Ponce dibatalkan kerana ofsaid.
Suarez memastikan kemenangan bergaya buat Miami pada minit ke-79 apabila dia memperdayakan pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan kencang untuk gol keempat.
Houston hanya mampu meraih gol sagu hati menerusi Nicolas Lodeiro pada minit ke-85.-AFP