fb fb fb fb fb

Sukan Komanwel: Nauraj, atlet pertama tersingkir pada pusingan akhir

(FOTO BERNAMA)

BIRMINGHAM, 4 Ogos- Jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa, memperagakan satu lagi aksi mengecewakan apabila menjadi peserta pertama tersingkir daripada 13 peserta beraksi pada pusingan akhir pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 lewat pagi tadi.

Nauraj, berazam memperbaiki rekod kebangsaan miliknya dengan catatan 2.30 meter (m) yang dilakukan pada Terbuka Singapura, 2017, gagal melepasi ketinggian kedua 2.10m dalam ketiga-tiga percubaan di Stadium Alexander.

Aksi mengecewakan terbaru itu berlaku susulan kegagalannya untuk mempertahankan penguasaan serantau Malaysia dalam acara lompat tinggi apabila hanya mampu meraih pingat perak pada Sukan SEA di Hanoi, Vietnam, Mei lalu.

Atlet berusia 30 tahun, yang berpangkalan di Jerman, mendedahkan bahawa kecederaan tumit menjejaskan penampilan ketiganya pada temasya sukan itu selepas edisi 2014 Glasgow dan 2018 di Gold Coast, Australia.

“Saya tidak mempunyai apa-apa untuk diperkatakan pada masa ini.. Saya berlatih dengan bersungguh-sungguh dan bersedia dengan baik. Saya benar-benar berasa amat selesa sebelum ini tetapi gagal melakukan lompatan dengan baik berikutan kesakitan amat sangat pada tumit.

“Ia sangat mengecewakan dan saya amat marah. Anda semua tahu saya boleh menerima kegagalan tetapi Sukan Komanwel hanya menjelma empat tahun sekali,” katanya kepada media Malaysia.

Nauraj kemudian berlalu pergi dan melutut di pintu keluar di kawasan zon campuran berdekatan dengan air mata mengalir mengenang nasib malangnya.-BERNAMA


(Aksi atlet lompat tinggi lelaki negara, Nauraj Singh Randhawa gagal melepasi ketinggian 2.10 meter
dalam tiga percubaan sekaligus menjadi peserta pertama tersingkir dalam
pusingan akhir itu di Stadium Alexander / BERNAMA)

Media Baharu