fb fb fb fb fb

Sukan Asia tangguh, MOM tunggu 'hitam putih' MOA

KUALA LUMPUR, 6 Mei - Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan menunggu butiran lanjut mengenai penangguhan Sukan Asia Hangzhou 2022 yang dijadual berlangsung di Hangzou, China September ini.

Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, MOM setakat ini masih belum menerima butiran lanjut mengenai penangguhan itu, termasuk tarikh baharu dari Majlis Olimpik Asia (MOA) dan Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Hangzhou (HAGOC).

"Memang kita ada dengar bahawa Sukan Asia ditangguhkan, cuma kita hendak menunggu keputusan rasmi daripada MOA dan HAGOC mengenai penangguhan tersebut.

"Tapi kita dah menghubungi MOA, memang perkara ini telah diputuskan cuma masih tidak menerima dokumen hitam putih.

"Jadi, buat masa sekarang fokus kita adalah kepada Sukan SEA kemudian Sukan KOMANWEL.

"Namun sudah pasti penangguhan Sukan Asia sedikit sebanyak mengganggu dari segi persiapan atlet yang terlibat dalam Sukan Asia.

"Selagi kita tidak menerima kata putus secara hitam putih daripada Majlis Olimpik Asia, MOM tidak boleh membuat sebarang komen mengenai penangguhan itu," katanya ketika dihubungi RTM hari ini.

(Sukan Asia ke-19 dijadual dari 10-25 September di Hangzou, China/FOTO AFP)

Terdahulu hari ini, Jawatankuasa Olimpik China (JOC), HAGOC dan Lembaga Eksekutif (EB) MOA memutuskan untuk menangguhkan Sukan Asia ke-19 dijadual dari 10-25 September selepas perbincangan terperinci.

MOA berkata tarikh baharu akan diumumkan dalam masa terdekat, manakala nama dan logo Sukan Asia ke-19 kekal tidak berubah.

“HAGOC telah bersedia untuk menganjurkan temasya itu tepat pada masanya walaupun menghadapi cabaran global. Walau bagaimanapun, keputusan di atas telah diputuskan oleh semua pihak berkepentingan selepas mempertimbangkan situasi pandemik dan saiz Sukan,” kata MOA dalam kenyataan, tanpa memberikan alasan khusus bagi penangguhan itu.

Menurut pengajur, negara itu sedang bergelut dengan kes COVID-19 yang semakin meningkat.

Tiada alasan diberikan berikutan penangguhan itu, akan tetapi China masih berusaha mengekang penularan wabak itu sejak awal lagi.

Penganjur berkata, bulan lalu Hangzhou yang juga sebuah bandar dengan 12 juta penduduk di timur China, telah selesai membina kira-kira 56 tempat pertandingan untuk Sukan Asia dan Sukan Para Asia.

Sejumlah 482 acara daripada 40 jenis sukan disenaraikan untuk temasya itu.

Media Baharu