fb fb fb fb fb

Skuad boling negara kandas di separuh akhir Kejohanan Dunia 2022

(Dari kanan, Muhammad Rafiq Ismail, Sin Li Jan, Natasha Roslan dan Timmy Tan)

KUALA LUMPUR, 11 Julai- Hajat beregu wanita, Natasha Roslan dan Sin Li Jane menghadiahkan pingat buat kem boling negara tetap cerah meskipun terkandas di separuh akhir Kejohanan Dunia 2022 di Alabama, Amerika Syarikat.

Pasangan Malaysia itu tewas kepada lawan dari Denmark, Mika Guldbaek-Mai Ginger Jensen dengan jatuhan pin 213 berbalas 248 dan 215 berbalas 225 di peringkat empat terakhir.

Natasha dan Li Jane sebelum ini menjadi harapan terbaik Malaysia membawa pulang pingat emas kategori beregu wanita selepas beraksi cemerlang sehingga ke separuh akhir.

Mereka memulakan kempen dengan menyingkirkan lawan dari Puerto Rico di pusingan 16 terbaik dan kemudian mengetepikan pasangan Belanda di suku akhir.

Prestasi cemerlang tersebut bagaimanapun gagal diteruskan apabila terpaksa tunduk di tangan beregu Denmark pada penentuan ke final.

(Atlet boling negara gagal mara ke pusingan Kejohanan Dunia 2022)

Namun, Natasha dan Li Jane berpeluang mengubati kekecewaan itu apabila turun berdepan Juliana Franco-Clara Guerrero dari Colombia bagi penentuan pingat gangsa pagi esok.

Perlawanan itu juga memberi peluang kedua buat Li Jane untuk membalas dendam terhadap Clara, selepas tewas di pusingan 16 terakhir perseorangan wanita sebelum ini.

Sementara itu, dalam acara perseorangan lelaki, dua wakil negara, Muhammad Rafiq Ismail dan Timmy Tan gagal meneruskan kemaraan selepas disingkirkan pemain Kanada dalam pertarungan sengit di suku akhir.

Muhammad Rafiq terlepas slot ke separuh akhir apabila tewas 1-2 menentang Graham Fach, manakala Timmy turut tewas 1-2 kepada Darren Alexander.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat pada Kejohanan Sukan Dunia adalah pada edisi 2009 di Taiwan dengan pencapaian dua kilauan gangsa.

Manakala pencapaian terbaik pula ialah ketika merangkul emas acara beregu campuran menerusi gandingan Sharon Low-Daniel Lim pada edisi 1997 di Finland.

Media Baharu