SEPANG, 5 November – Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bakal memberi peluang kepada pelumba tempatan untuk menggunakan semua kemudahan di litar tersebut tanpa sebarang caj untuk tujuan latihan.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata inisiatif itu sebagai langkah untuk membantu bakat tempatan menggilap potensi mereka dalam sukan permotoran.
"Ini yang dapat saya janjikan kepada semua pelumba Malaysia. Sesiapa yang ingin datang berlatih, hubungi kami, insyaAllah kita akan bagi ruang. Jika ada slot yang kosong, kita akan buka ruang tanpa caj kepada pelumba Malaysia yang ingin berlatih di litar ini," katanya kepada pemberita, di sini.
Azhan Shafriman turut menyatakan kemudahan tersebut akan dibuka khusus untuk kategori kapcai. Namun, kategori tertentu perlu ditetapkan bagi menjamin keselamatan.
“Kita tidak boleh bercampur untuk aspek keselamatan, kerana ia tidak berapa selamat,” katanya.
Tambah Azhan Shafriman, pihak yang menggunakan kemudahan di SIC akan dikenakan caj lain, termasuk untuk penyediaan marsyal bagi memastikan keselamatan semasa latihan.