fb fb fb fb fb

Sepak takraw, berpeluang disenarai kembali sebagai sukan teras - Hannah

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 23 Julai- Sukan sepak takraw berpeluang disenaraikan sebagai sukan teras kembali selepas digugurkan pada 2017.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata Majlis Sukan Negara (MSN) dijangka akan membuat keputusan berhubung perkara itu secepat mungkin iaitu selepas Sukan Olimpik Paris 2024.

"Kenapa sukan teras? Ini kerana sukan sepak takraw cukup popular dalam kalangan semua komuniti bandar dan luar bandar. Kita melihat sambutannya ketika kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw Mei lalu, semua tiket habis terjual."

"Malah tontonan dalam talian turut tinggi.Ia adalah sukan yang tidak mahal, kalau kita nak laksanakan di semua peringkat umur," kata Hannah kepada pemberita, hari ini.

Hannah diminta mengulas initipati pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemain dan jurulatih pasukan sepak takraw kebangsaan, sebelum ini.

Perdana Menteri mengumumkan imbuhan RM10,000 untuk setiap pemain dan jurulatih susulan kejayaan muncul juara berganda pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024, Mei lalu.

Sepak takraw bersama angkat berat dan taekwondo adalah tiga sukan digugurkan MSN daripada senarai sukan teras negara pada 2017, berikutan prestasi buruk.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM