fb fb fb fb fb

'Saya gembira dan mahu terus kekal di Arab Saudi' - Ronaldo

(Bintang bola sepak Portugal Cristiano Ronaldo/FOTO AFP)

RIYADH, 2 Jun - Bintang bola sepak Portugal Cristiano Ronaldo mengesahkan akan kekal berada di Arab Saudi untuk musim depan walaupun gagal untuk memenangi sebarang piala.

Ia sekali gus menamatkan spekulasi kononnya dia dipindahkan ke Newcastle United yang dimiliki pihak Saudi yang berjaya melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan.

Ronaldo, 38 tahun meninggalkan Manchester United untuk menyertai Al-Nassr pada Januari lalu berkata dia gembira bersama pasukan itu.

"Saya gembira di sini, saya mahu terus berada di sini, saya akan terus di sini.

"Menurut pandangan saya, jika mereka terus berusaha seperti apa yang diinginkan, untuk lima tahun akan datang, saya fikir liga Saudi akan berada dalam kelompok lima teratas dunia," katanya dalam wawancara rasmi dengan Liga Pro Saudi.

Ronaldo menjaringkan 14 gol dalam 16 perlawanan sejak menyertai Al-Nassr.

Ia sekali gus membantu kelab itu menamatkan kempen di tangga kedua Liga Profesional Saudi di belakang Al-Ittihad.

(Ronaldo bersama pasukanĀ Al-Nassr/FOTO AFP)

Ronaldo turut menandatangani kontrak dua setengah tahun yang dikatakan bernilai lebih 400 juta euro (S$580 juta).

Beliau akui terperanjat dengan perbezaan cara latihan yang dilakukan di Saudi ini termasuk sesi latihan pada lewat malam ketika bulan Ramadan.

"Jika di Eropah kami akan melakukan latihan di waktu pagi tetapi di sini kami hanya berlatih pada waktu petang dan pada Ramadan kami mula berlatih pada pukul 10 malam," tambahnya.

"Jadi, saya rasa ia sesuatu yang janggal tetapi saya menganggap semua ini sebagai sebahagian daripada pengalaman dan memori."

Pemain itu yakin bahawa keadaan akan berubah pada tahun hadapan dan akan mencapai prestasi yang lebih baik - AFP.



Media Baharu