YANBU, 4 Januari – Pelumba Sweden, Mattias Ekstrom memulakan kempen Rali Dakar 2025 dengan cemerlang apabila mengetuai kedudukan satu-dua Ford dalam saingan prolog sejauh 22 kilometer di sini, hari ini.
- Ekstrom terus dominasi prolog dengan kemenangan ketiga berturut turut dalam Dakar.
- Ford menguasai kedudukan satu dua dalam saingan prolog.
- Kedudukan prolog hanya menentukan susunan permulaan untuk peringkat pertama esok.
- Edgar Canet, 20, menang kategori motosikal sebagai pemenang peringkat termuda.
Juara dua kali Kejuaraan Jelajah Jerman (DTM) itu mencatat masa 10 minit 48.7 saat menggunakan Ford Raptor, lapan saat lebih pantas daripada rakan sepasukan dari Amerika Syarikat, Mitch Guthrie.
Pelumba Belgium, Guillaume de Mevius (Mini X-Raid), dan juara lima kali dari Qatar, Nasser Al-Attiyah (Dacia Sandriders) masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dan keempat.
Ini merupakan kemenangan prolog ketiga Ekstrom selepas 2023 dan 2024, serta kejayaan peringkat khas keenamnya dalam saingan Dakar.
Kedudukan prolog hanya menentukan susunan permulaan bagi peringkat pertama esok dan tidak melibatkan pengiraan masa keseluruhan perlumbaan.
Dalam kategori motosikal, pelumba Sepanyol, Edgar Canet muncul terpantas bersama KTM sekali gus menjadi pemenang peringkat termuda pada usia 20 tahun.
Juara bertahan dari Australia, Daniel Sanders menamatkan perlumbaan tiga saat di belakang Canet, manakala pelumba Amerika Syarikat, Ricky Brabec berada di tempat ketiga bersama Honda. – AFP