fb fb fb fb fb

Penyokong bola sepak Kelantan penuhi Politeknik Kota Bharu, saksi Malaysia Vs Oman

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Kelantan, Mohd Saipuddin Zakaria

KOTA BHARU, 27 Mac - Hampir 800 penyokong bola sepak hadir menyaksikan perlawanan Kumpulan D saingan Kelayakan Piala Dunia 2026 yang disiarkan secara langsung menerusi skrin besar di Politeknik Kota Bharu, Kelantan malam tadi.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Kelantan Mohd Saipuddin Zakaria berkata, program itu merupakan kali kedua anjuran jabatan berkenaan sempena kelayakan Piala Dunia 2026.

Beliau berkata, selain penuntut Politeknik serta kolej berhampiran kemeriahan menyaksikan perlawanan bola sepak itu juga turut disertai penduduk setempat. 

Pihaknya turut menganjurkan beberapa aktiviti sampingan sebelum tayangan bermula antaranya, sepak penalti, e-sukan, dart, dan derma darah selain solat Isyak dan Tarawih berjemaah.

Menurutnya, objektif pelaksaan program ini adalah untuk memberi peluang kepada penyokong pasukan negara beriadah dan beramah mesra bersama komuniti setempat.

"Program malam ini adalah program 'big screen' sempena Perlawanan Kelayakan Piala Dunia Malaysia melawan Oman. Jadi perlawanan kedua lah malam ini dan pada malam ini juga adalah malam kedua kita buat program ini di Politeknik Kota Bharu, Alhamdulillah sambutan memang amat menggalakkan dan saya anggarkan lebih kurang 800 orang lah penonton atau peminat bola sepak yang hadir pada malam ini."

Mohd Saipuddin bercakap kepada media pada tayangan skrin besar siaran langsung Malaysia menentang Oman dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2026, di sini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Akademik Politeknik Kota Bharu, Ir Mohd Zaidi Che Mod, Timbalan Pengarah (Sukan) JBS Negeri Kelantan, Hazri Nizam Zakaria dan bekas pemain bola sepak Kelantan, Daudsu Jamaludin.

Selain itu, Mohd Saipuddin berkata, pihaknya juga turut mengagihkan 500 bungkusan makanan sahur kepada penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan tersebut.

Beliau turut berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan kerana menganjurkan program skrin besar kepada peminat bola sepak tanah air.

Bagaimana pun, Malaysia gagal menebus kekalahan kepada Oman apabila tewas 0-2 pada perlawanan keempat Kumpulan D Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

TETITIA YUSOFF