fb fb fb fb fb

Pelaksanaan Kod Sukan Selamat diperluas bermula tahun hadapan- Hannah

Hannah pada kejohanan Pink Blitz Touch Rugby Porto ‘23 di Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara di sini hari ini.

KUALA LUMPUR, 15 Disember- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memperluaskan pelaksanaan Kod Sukan Selamat ke peringkat akar umbi bermula pada tahun depan. 

Menterinya, Hannah Yeoh berkata ia sebagai usaha bagi mewujudkan persekitaran sukan yang selamat dan harmoni.

Jelas Hannah, Kod Sukan Selamat adalah garis panduan yang perlu dipatuhi semua pihak terlibat dalam acara, pertandingan dan kejohanan sukan termasuk ibu bapa.

"Saya tak hendak ibu bapa yang anaknya kalah marah kepada 'referee' atau pasukan lawan, itu adalah persekitaran sukan yang tidak selamat dan sihat. Tahun depan kita akan tekankan pelaksanaan kod selamat dalam sukan supaya yang terlibat tahu tanggungjawab masing-masing termasuk anak -anak kecil," katanya ketika ditemui pada kejohanan Pink Blitz Touch Rugby Porto ‘23 di Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara di sini hari ini.

Beliau turut memaklumkan, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pendidikan akan mempromosikan Kod Sukan Selamat di semua sekolah agar ia lebih difahami semua pihak terlibat.

Terdahulu, Hannah merasmikan kejohanan ragbi sentuh bawah 12 tahun dan bawah 10 tahun di sini yang disertai 20 pasukan dari sekolah seluruh negara.

Pengarah kejohanan Abdul Hafiz Abdul Rahman berkata ia merupakan edisi sulung dan bercadang menjadikan sebagai acara tahunan dalam usaha mempromosikan lagi sukan itu dalam kalangan pelajar sekolah.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI