SINTOK, 17 Julai-Lapan atlet yang sedang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi, IPT, antara 26 atlet yang akan memperkuatkan kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris 2024 bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini.
IPT menyumbang 30.8 peratus dari jumlah keseluruhan atlet kebangsaan yang akan membawa nama negara ke kejohanan tersebut.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, atlet terbabit adalah Mohd Aniq Kasdan dari UiTM dalam acara Angkat Berat; Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dari Universiti Malaya dalam acara Berbasikal Trek; Trio Memanah Recurve iaitu Ariana Nur Dania Mohamad Zairi (GMI), Syaqiera Mashayik (UPM) dan Nurul Azreena Mohamad Fazil (UiTM).
Selain itu, Khiew Hoe Yen dari UCSI dalam acara Renang; pelajar UKM, Nur Dhabitah Sabri dalam acara Terjun dan Muhamad Azeem Mohd Fahmi (Auburn University).
Beliau yakin para atlet IPT akan terus mempamerkan aksi mencipta kecemerlangan sukan negara di persada dunia.
"Kita sedang menyediakan atlet-atlet kita untuk menyertai sukan Olimpik. Ada lapan orang semuanya dan kita mahu juga mereka ini bersedia untuk membawa nama negara, mengharumkan nama negara di Sukan Olimpik nanti", katanya demikian ketika bercakap kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran SUKIPT 2024 di Dewan Sri Angasana, EDC, di sini.
Katanya, KPT amat komited dengan usaha untuk meningkatkan mutu sukan negara melalui penganjuran acara sukan berskala tinggi, bertaraf kebangsaan dan antarabangsa.
Ia penting bagi mengekalkan momentum kecemerlangan prestasi atlet
IPT dan negara di peringkat tertinggi, termasuklah di Sukan Universiti ASEAN, Sukan Universiti Dunia, Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik.