fb fb fb fb fb

Pasukan boling negara langkah kanan dalam kejohanan The World Games 2022

KUALA LUMPUR, 9 Julai- Jaguh boling negara Muhammad Rafiq Ismail membuka kempen dengan langkah kanan apabila memenangi perlawanan pembukaan acara perseorangan lelaki dalam Kejohanan tenpin boling The World Games 2022 di Alabama, Amerika Syarikat, awal pagi tadi.

Muhammad Rafiq melakukan 257 jatuhan pin menewaskan pencabarnya dari Australia, Callum Borck yang membuat 208 jatuhan pin pada perlawanan pertama berlangsung di Spare Time Trussville.

Pada perlawanan kedua, Rafiq sekali lagi membuat 257 jatuhan pin, manakala Borck hanya mampu membuat 212 jatuhan pin.

Seorang lagi wakil lelaki negara, Timmy Tan turut mara ke peringkat seterusnya selepas menewaskan pemain Afrika Selatan, Jivi Sewchuran.

(Jaguh boling negara Muhammad Rafiq Ismail  membuat 257 jatuhan pin, menewaskan pencabarnya dari Australia, Callum Borck)

Timmy ketinggalan pada perlawanan pertama selepas melakukan 200 jatuhan pin sementara Jivi dengan 218 jatuhan pin.

Pemain negara itu kemudian bangkit di perlawanan kedua dengan 196-189 jatuhan pin sebelum membuat 224-173 jatuhan pin pada aksi penentuan untuk menewaskan Jivi.

Dalam kategori wanita, Sin Li Jane menepati ramalan mara ke peringkat seterusnya setelah menewaskan pemain Korea Selatan, Kim Hyun-mi.

Manakala perjuangan Natasha Roslan berakhir setelah tewas di tangan pemain Puerto Rico, Taishaye Naranjo.

Kesemua empat pemain boling negara itu turut akan beraksi bagi acara berpasukan lelaki dan wanita pada kejohanan tersebut.

Media Baharu