fb fb fb fb fb

Olimpik: Bawa pulang pingat emas pertama, terima ganjaran lebih RM1 juta

Foto BERNAMA

KOTA LAKSAMANA, 13 Julai- Atlet yang membawa pulang pingat emas pertama pada temasya Sukan Olimpik akan menerima ganjaran melebihi RM1 juta apabila beberapa syarikat swasta turut menawarkan hadiah wang tunai dan ganjaran.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata tawaran itu diterima pihaknya melalui jawatankuasa program Fast Track Road to Gold (RTG) dan akan dimaklumkan tidak lama lagi.

"Untuk kerajaan, masih kekal cuma sekarang ini pihak swasta ada yang telah mula menghubungi jawatankuasa RTG untuk bagi tawaran kepada atlet yang akan membawa pulang pingat emas Olimpik pertama."

"Perkara itu akan diumumkan sendiri oleh pihak jawatankuasa RTG tidak lama lagi," kata Hannah kepada pemberita pada Program Kemahiran Latihan Asas Sukan Renang (KLAS) di RNJ Swimming Academy, di sini.

Terdahulu, menjelang Sukan Olimpik Paris 2024, pertaruhan utama disandarkan ke atas sukan berbasikal trek atau badminton yang bakal menjadi penyumbang pingat emas pertama negara di temasya sukan berprestij itu.

Antara atlet yang berpotensi menghadirkan pingat emas sulung Malaysia adalah perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan jaguh berbasikal trek, Datuk Mohd Azizulhasni Awang.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM