fb fb fb fb fb

Menteri Besar ucap tahniah kejayaan Kontinjen SUKMA harumkan nama Johor

(FB ONN HAFIZ)

JOHOR BAHRU, 25 September- Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam muat naik di Facebook menzahirkan ucapan tahniah kepada semua atlet, jurulatih, pengurusan dan Majlis Sukan Negeri Johor serta pihak terlibat yang menyumbang kepada kejayaan kontinjen SUKMA meraih gelaran juara sulung dengan membawa pulang 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa pada temasya kali ini.

Dalam catatan Facebooknya itu, beliau berkata kerajaan negeri akan mengiktitaf serta memberi penghargaan sewajarnyakepada semua yang terlibat mengharumkan nama Johor.

Beliau juga menjunjung kasih kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sentiasa mendoakan dan memberikan semangat kepada kontinjen SUKMA Johor.

Katanya, kerajaan negeri juga merancang untuk meraikan barisan atlet, jurulatih, pengurusan dan mereka yang terlibat dalam kejayaan Johor mencipta sejarah berkenaan.

Johor mencipta sensasi apabila meraih gelaran juara mengatasi 14 kontinjen lain termasuk juara bertahan, Terengganu (64 emas, 49 perak dan 56 gangsa) di tempat kedua serta Wilayah Persekutuan (55 emas, 68 perak dan 64 gangsa) di tempat ketiga.

(Juara keseluruhan yang dimenangi oleh negeri Johor pada Majlis Penutup Temasya Sukan Malaysia
(SUKMA) 2022 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)/BERNAMA)

Pada temasya kali ini, atlet lelaki dan wanita terbaik Sukma masing-masing dibolot atlet Johor menerusi Muhammad Fakhrullah Mohd Rumaize bagi sukan kanu dan atlet renang Tan Rouxin.

Muhammad Fakhrullah meraih gelaran itu selepas merangkul sebanyak sembilan pingat emas antaranya menerusi acara K2 200meter (m), 500m dan 1000m sementara Rouxin meraih enam emas antaranya dalam saingan 50m, 100m dan 200m kuak dada.

Media Baharu