fb fb fb fb fb

Malaysia sasar tujuh emas di Kejuaraan Silat Dunia 2022

KUALA LUMPUR, 18 Julai - Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) menetapkan sasaran sebanyak tujuh pingat emas bagi kontijen silat negara dalam Kejuaraan Silat Dunia 2022 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Presidennya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin menyatakan jumlah sasaran itu sudah realistik melalui perbincangan yang telah diadakan sebelum ini.

"Dengan itu kita menyasarkan tujuh pingat emas untuk kita raih daripada 32 acara daripada acara yang kita pertandingkan 13 silat olahraga untuk kategori lelaki dan 11 daripada kategori wanita dan silat seni 4 dari setiap kategori silat lelaki dan wanita bermaksud 24 dari silat olahraga dan 8 dari silat seni dan ia menjadikan 32 acara yang jadi rebutan," kata beliau pada sidang media sempena Kejuaraan Silat Dunia 2022 edisi ke-19 , di sini.

Sebelum itu juga diadakan penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen silat kebangsaan yang akan mewakili negara pada temasya dunia itu.

Tambah Megat Zulkarnain, ketika ini sebanyak 40 buah negara dijangka akan memeriahkan kejuaraan dunia itu.

Antara negara yang telah mengesahkan penyertaan seperti India, Pakistan,Kazakstan dan Amerika Syarikat.


(Presiden PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin (tengah) bersama kontinjen silat kebangsaan
yang akan mewakili negara pada Kejuaraan Silat Dunia 2022)

Beliau juga turut menyatakan kejohanan silat tersebut merupakan peluang terbaik kontinjen negara untuk melakar kejayaan kerana beraksi di tanah air sendiri.

Kem negara akan diperkuatkan dengan juara dunia tiga kali berturut, Al Jufferi Jamari dan srikandi silat negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir.

Sementara itu Megat Zulkarnain turut memaklumkan bahawa peraturan baharu akan diperkenalkan dalam temasya dunia berkenaan.

Ia akan diperkenalkan bagi memudahkan lagi pengamal persilatan negara melihat sendiri cara penggunaan peraturan baharu tersebut.

"Kita bersyukur buat kali pertama peraturan baharu ini akan dipertontonkan secara langsung kepada peminat dan pengamal persilatan di negara ini supaya mereka dapat menyaksikan sendiri yang mana peraturan baharu ini diguna pakai dalam kejuaraan antarabangsa seperti ini," menurut beliau.

Media Baharu