fb fb fb fb fb

LTdl 2024: Pelumba negara, Elmi Jumari selesai jalani pembedahan

Ketua Jurulatih berbasikal negara, Mohd Yusof Nasir berkata keadaan Elmi Jumari kini stabil selepas jalani pembedahan / Foto RTM

TAIPING, 1 Oktober-Pelumba pasukan kebangsaan, Muhammad Elmi Jumari yang terlibat dalam kemalangan ketika pelumbaan semalam telah selamat menjalani pembedahan malam tadi.

Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Jurulatih, Mohd Yusof Nasir.

"Malam tadi pembedahan dah selesai bahagian tangan kiri cuma hari ini baru boleh selesaikan bahagian bahu dan tangan kanan, tetapi hendak buat di Butterworth juga atau di Kuala Lumpur, ada perbincangan balik dengan pihak hospital", kata Yusof ketika ditemui media di sini.

Jelas Yusof, ketiadaan Muhammad Elmi Jumari menyaksikan tanggungjawab sebagai ketua pasukan kini digalas oleh seorang lagi pelumba, Muhammad Afiq Huznie Othman sehingga tamat saingan LTdl 2024.

Ketiadaan Elmi bermakna pasukan kebangsaan meneruskan perlumbaan peringkat ketiga ini dengan hanya lima pelumba.

Terdahulu, Elmi terlibat dalam kemalangan semasa menghampiri garisan penamat peringkat kedua dari Arau, Perlis ke Butterworth semalam.

Lebih malang,pelumba berusia 34 tahun itu turut di denda sebanyak 200 Swiss Franc oleh Persekutuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) selepas didapati menjadi punca kemalangan.

Dalam pada itu, Yusof menghargai keperihatinan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Berbasikal Kebangsaan(PKBM) yang memberi perhatian penuh sejak insiden semalam.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan melalui MSN dan KBS membantu apa keperluan kami sepanjang kami berada di hospital dan bantuan untuk membantu kami dari segi basikalnya yang telah patah dan rosak tu saya ucapkan terima kasih", kata Yusof.

Beliau juga akur dengan penjelasan UCI berhubung tindakan saman dan keputusan memutuskan Elmi Jumari sebagai punca insiden pelanggaran menuju garisan penamat semalam.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD