fb fb fb fb fb

Lim Chee Yong berazam tampil aksi terbaik pada acara utama, Kejohanan Ironman 70.3

KOTA TINGGI, 24 Julai - Atlet Ironman kebangsaan, Lim Chee Yong berazam menampilkan aksi terbaik pada acara utama dalam Kejohanan Ironman 70.3 di Desaru Coast, di sini meskipun tanpa menyertai sebarang kejohanan kompetitif sejak tiga tahun lalu.

Chee Yong yang pernah beraksi di Ironman Dunia 2018 dan menduduki tempat ketiga pada edisi 2017 di Malaysia, meletakkan sasaran memperbaiki catatan terbaiknya yang dilakukan di Langkawi tiga tahun lalu.

Ketika itu beliau menamatkan saingan di tempat kedua bagi kategori umur 18 hingga 24 tahun, sekali gus melayakkan diri ke Kejohanan Dunia di New Zealand.

(Atlet Ironman kebangsaan, Lim Chee Yong)

“Persediaan untuk acara ini saya buat sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) lagi dan buat latihan sikit demi sedikit sejak waktu itu.

“Sasaran untuk esok saya ingin tamatkan perlumbaan dalam masa empat jam dan 50 minit, jika lebih cepat itu bonus untuk saya,” katanya yang pernah mencatatkan rekod sebagai atlet Ironman termuda negara melayakkan diri ke kejohanan IRONMAN Dunia pada 2018 ketika berusia 20 tahun.

Atlet berusia 25 tahun itu berazam mahu beraksi di Sukan Sea 2023 di Kemboja tahun hadapan.

Acara kemuncak kejohanan itu bakal menampilkan disiplin renang sejauh 1.9 kilometer, berbasikal 90 kilometer dan berlari sejauh 21.1 kilometer.

Media Baharu