KUALA LUMPUR, 14 Ogos - Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang mengimpikan misinya di Sukan Olimpik Paris 2024 menjadi sebuah detik manis buat rakyat Malaysia, berakhir pada awal saingan apabila penyertaannya dibatalkan.
Pelumba yang diberi julukan The Pocket Rocketman itu berkata, beliau hadir ke Paris dengan penuh harapan dan membawa misi penting negara bagi merealisasikan impian rakyat Malaysia untuk membawa pulang pingat emas pertama negara.
"Sepanjang proses persiapan dan perjalanan ke Paris, saya sentiasa memainkan gambaran yang positif, gambaran yang penamat di Paris akan menjadi sebuah cerita manis buat Malaysia dan khususnya buat karier saya. Namun saya juga terkelu seribu bahasa dengan pengakhiran seperti ini.
"Ketika melihat nama saya dikenakan ‘disqualification’, dunia seolah-olah terhenti. Tubuh badan panas bersedia untuk beraksi tiba-tiba menjadi sejuk kaku. Seluruh velodrome sunyi sepi walaupun hakikatnya penuh dengan sorakan dari penonton yang hadir," kongsi Azizulhasni menerusi Facebook beliau hari ini.
Tambah Azizulhasni, impian meraih emas negara dalam temasya Olimpik yang digalas di bahunya sama sekali tidak membuatkan beliau hilang kawalan.
"Mungkin ada yang kata harapan terlalu tinggi terlalu besar membuat saya hilang kawalan. Tidak sama sekali, semuanya berada di dos yang sepatutnya," ujarnya.
Menceritakan detik itu, Azizulhasni meluahkan rasa sedih apabila melihat reaksi dari jurulatih John Beasley yang begitu sebak dan tidak dapat menahan emosi beliau, selain perasaan bersalah yang menggunung kepada seluruh pasukan yang turut berkorban untuk memastikan beliau berada di tahap yang terbaik.
"Islam mengajar kita untuk berdamai dengan takdir. Semua yang berlaku didunia ini sudah ditentukan oleh Allah Azzawajal sebelum kita diciptakan lagi dan Allah adalah sebaik-baik perancang. Syukur kerana saya berpegang teguh dengan tali Allah, jika tak saya tidak tahu bagaimana untuk menghadam dan memproses segala yang berlaku," katanya.
Dalam masa sama, Azizulhasni mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada perjalanan kariernya selama ini terutama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan para penaja.
"Sekali lagi saya memohon maaf kepada semua dan teruskanlah memberikan sokongan penuh kepada atlet-atlet negara kita di masa hadapan," katanya lagi.
Sabtu lepas, Azizulhasni terpaksa menamatkan saingan di Sukan Olimpik Paris 2024 seawal pusingan pertama acara keirin lelaki selepas penyertaannya dibatalkan kerana tindakannya memotong pacer di Velodrom Quentin-en-Yvelines.
BERITA BERKAITAN